Archive for 28 Mac 2010


ISKAN RUSAIFAH

17 Mac 2010 (Rabu)

Ceritanya bermula sebelum kami berangkat ke Tanah Suci lagi.

Keluarga mantan mufti negeri, Datuk Hj Ismail Abbas mengamanahkan kami untuk menyampaikan sedikit kiriman kepada keluarganya di Makkah.

Bekalan sebuah beg sederhana disediakan oleh Tuan Hj Salman Ismail untuk saya bawa dan sampaikan kepada sepupunya, Puan Munirah, yang keluarganya berasal dari Kedah.

Setelah kami tiba di Makkah, saya menghubungi sendiri Puan Munirah Ismail dan kami bertutur dalam bahasa yang bercampur Arab + Melayu. Beliau masih boleh berbahasa Melayu tetapi pelat Arab.

Beliau dan suaminya Muhammad Basinan yang berasal dari Hadramaut Yaman datang ke penginapan kami untuk mengambil kiriman. Dalam pertemuan ringkas itu, mereka berdua mengundang kami untuk menjamu selera pada keesokan harinya (17 Mac 2010).

Alhamdulillah, rombongan kami seramai 12 orang dijemput dengan dua kenderaan.

Rumah Puan Munirah dan Muhammad Basinan terletak di Iskan Rusaifah, 15 minit dari hotel. Iskan Rusaifah adalah satu kawasan hujung Makkah, jalan menuju ke Jeddah.

Selain kami yang hadir, tuan rumah turut mengundang rakan-rakannya untuk menjamu selera. Alhamdulillah, kami dapat memupuk persaudaraan Islamiyyah dengan kenalan baru.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Mulia. Tuhan yang mengajar dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak tidak diketahuinya” (al-Alaq : 1-5)

Gua Hira’ terletak di sebelah timur laut Masjidil Haram di puncak Jabal Nur atau biasa juga dipanggil Jabal Hira’ dengan ketinggian 281 meter dari permukaan tanah.

Di sinilah Rasulullah SAW menyendiri dan beribadah sebelum diangkat menjadi utusan Allah SWT. Ketika baginda berumur 40 tahun, Allah SWT mengutus Malaikat Jibril untuk menyampaikan wahyu pertama iaitu ayat 1-5 daripada surah al-Alaq.

Rombongan kami bergerak dalam beberapa kumpulan. Ust Azam dan beberapa sahabat termasuk Amir, Ust Azman dan lain-lain bergerak selepas solat subuh, ketika cuaca belum begitu panas.

Sementara rombongan kami seramai 8 orang termasuk 3 muslimat datang sekitar jam 10 pagi. Namun yang naik hingga ke puncak dan ke Gua Hira’ hanyalah tiga orang – Abang Yusuf, Cikgu Hamid dan Ust Mad.

Perjalanan dari Masjidil Haram ke sini mengambil masa sekitar 20 minit, bergantung kepada situasi jalanraya.

Sementara perjalanan naik mengambil masa selama 45 minit dan kami yang lain menanti sahaja di bawah. Saya sedari awal tidak berhasrat untuk naik memandangkan cuaca panas dan keletihan selepas umrah sebelumnya.

%d bloggers like this: