16 Mac 2010

Sekitar 8 pagi, saya keluar dari Masjidil Haram. Bukan balik ke bilik penginapan, tetapi meronda-ronda sekitar kawasan berdekatan.

Memang antara yang jelas perubahan kini ialah projek besar-besaran pemerintah Arab Saudi untuk membangunkan Kota Makkah khususnya di sekitar Masjidil Haram.

Sebelum ini, kawasan saie sudah dilebarkan sekali ganda berbanding luas sebelumnya. Bagi yang pernah datang ke sini, pasti merasai perubahan kawasan saie yang lebih lebar.

Di luar masjid, sudah banyak hotel dan bangunan kedai-kedai dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan perhotelan yang lebih moden.

Ada bangunan lama yang sudah dikosongkan untuk menanti masa perobohan, ada yang sudah diroboh dan ada yang kawasan yang sedang pesat dengan pembinaan bangunan baru. Kami dimaklumkan projek pembangunan Kota Suci Makkah ini  dijangka siap dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bahkan bangunan Hotel Durrah tempat kami menginap kali ini juga turut termasuk dalam bangunan yang bakal diroboh dalam masa terdekat. Ada maklumat mengatakan ini adalah tempoh-tempoh akhir mereka menerima tetamu sebelum diroboh sebulan dua ini.

Kami juga dapat melihat bangunan hotel yang sudah dikosongkan yang berhadapan dengan Hotel Durrah, dirobohkan dengan disaksikan oleh ramai orang.

Saya sempat meninjau kawasan tempat kami tinggal pada musim haji 2002 lalu. Ia tidak jauh dari Maktabah Makkah al-Mukarramah, lokasi Rasulullah SAW dilahirkan. (Sebelah timur Masjidil Haram, berdekatan dengan laluan Saie).

Tempat tinggal kami dahulu seramai 18 orang jamaah haji Sabah dari Mesir berada di belakang Maktabah Makkah al-Mukarramah ini. Kami terpaksa naik beratus anak tangga kerana tempat penginapan kami terletak di kawasan bukit.

Kini bangunan-bangunan dan kawasan tersebut sudah dikosongkan dan menanti untuk dirobohkan. Saya berjalan kaki melihat kawasan kedai-kedai yang biasa dikunjungi jamaah haji dan umrah termasuk Malaysia yang menjual pakaian seperti jubah, abaya, kopiah, tasbih, minyak wangi dan kitab-kitab.

Letih berjalan, saya singgah satu restoran. Saya belum sarapan, nampak ayam panggang yang diusahakan oleh seorang pemuda Arab berasal dari Mansoura Mesir. Katanya kepada saya, dia akan menyambung pengajian di UIA Malaysia.

Makan nasi basmati + ayam, saya berselera sekali. Alhamdulillah. Sedap la pulok.

Advertisements