15 Mac 2010 (Isnin)

Sekitar 9.40 malam, Ust Azam mengumumkan bas besar yang membawa kami saat ini mulai masuk ke dalam kawasan Tanah Haram. Doa dipanjatkan agar niat dan ibadah dipermudahkan oleh Allah SWT.

Dalam masa yang sama, hati masih berdebar. Antara bimbang dan pengharapan yang tidak putus.

Saat itu, sahabat-sahabat mula menyegarkan mata yang sejak tadi asyik terlelap. Mata mula  mencari-cari arah dan letak Masjidil Haram. Menghampiri jam 10 malam, barulah bangunan Masjidil Haram kelihatan bercahaya.

Hotel Durrah setinggi 10 tingkat menjadi pilihan tempat penginapan kami. Ia terletak di kawasan Syubaikah, belakang dan kiri bangunan Darul Tawhid yang tersergam menghadap Masjidil Haram.

Beg dan semua barang disimpan di bilik yang sudah ditetapkan. Saya bersama Ust Azman, Amir Fadhli, Cikgu Hamid dan Ust Zulkifli duduk sebilik di tingkat 9. Ust Azam menetapkan selesai makan, semua akan bergerak untuk tawaf dan saie tepat jam 12 malam.

Perjalanan kaki antara hotel ke pintu masjid yang berhampiran memakan masa 10 minit. Talbiah dilaungkan dengan bersemangat. Doa terus dipanjatkan.

Masuk melalui pintu Malik Fahd, perasaan berdebar semakin kencang untuk bertemu Kaabah dan seterusnya tawaf di sisinya. Seperti saat saya pertama kali dahulu melihat Ka’abah, begitulah perasaan yang dialami oleh para sahabat yang melihat dan berhadapan buat julung kalinya.

Air mata kegembiraan menitis. Seolah tidak percaya kini berada di Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia.

“Ust Mad, nampak? Ust CB, nampak?” Usik saya apabila mata masing-masing bertumpu ke binaan Kaabah itu.

Ust Azam memberi arahan agar memulakan tawaf. Saya dipinta memimpin di hadapan sementara Ust Azam memastikan ahli rombongan dapat memulakan tawaf dengan baik. Selepas tawaf kami dipinta berkumpul semula di tepi tangga dekat lampu hijau, tempat tawaf bermula.

Saya disertai oleh beberapa rakan pada pusingan awal. Apabila sudah rasa selesa, satu demi satu membawa diri untuk tawaf sendirian.

Sambil bertawaf doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri sendiri, isteri, anak-anak, orang tua, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan rakan taulan.

Alhamdulillah, sekitar 40 minit kemudian, tawaf selesai dikerjakan dan masing-masing meluru untuk solat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim yang menjadi salah satu tempat mustajabnya doa.

Selesai solat, kami bertemu di tempat yang dijanjikan. Menanti sahabat-sahabat yang belum selesai, kami meminum air zam-zam sepuasnya.

Ibadah seterusnya ialah saie. Perjalanan antara dua bukit bersejarah – Sofa dan Marwah sejauh lebih 3km secara keseluruhan dalam 7 pusingan bermula di Bukit Sofa dan berakhir di Bukit Marwah.

Ia mengingatkan perjuangan seorang ibu bernama Hajar bagi mencari seteguk air untuk anak yang menangis kelaparan. Perjuangan itu akhirnya diabadikan dalam ibadah saie yang bererti usaha.

Hampir jam 3 pagi (lebih sejam saie), kami menamatkan ibadah umrah pertama dengan bergunting dan bercukur. Alhamdulillah, segala puji buatMu ya Allah! Rabbana Taqabbal Minna…

Advertisements