Tidak salah saya, Ust Azam mula menghubungi kami sekitar bulan 11 untuk mengajak menunaikan umrah.

Barangkali, saat itu rakan-rakan jamaah haji sedang berada di Tanah Suci. Mungkin saja ajakan Ust Azam itu berkait dengan doa-doa jamaah haji di Tanah Suci agar kami sampai ke sana suatu hari nanti.

Sehingga saat akhir minggu lalu, saya keberatan memaklumkan perjalanan imaniah ini kepada jamaah masjid dan surau yang saya berkuliah pada setiap malam. Begitu juga kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan pembaca blog Abu Nuha Corner ini. Maafkan saya.

Hanya beberapa orang sahaja yang saya maklumkan khususnya isteri, beberapa orang jamaah masjid dan surau secara peribadi.

Bukan niat hendak merahsiakan perjalanan berharga ini. Hakikatnya kami seluruh rombongan hanya menerima visa umrah beberapa hari sebelum keberangkatan pergi. Oleh itu kebimbangan jadi atau tidak tetap berlegar di kepala.

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui betapa risau dan resah kami menanti saat-saat perjalanan. Apatah lagi bagi kebanyakan ahli rombongan yang pergi buat pertama kali.

Bagi diri saya sendiri, selain ibadah berkaitan umrah dan ziarah, saya berazam untuk mengkhatamkan al-Quran sepanjang perjalanan ini.

12 Mac 2010 kami masing-masing berangkat ke KLIA. Ada yang penerbangan awal pagi dan ada tengahari. Bahkan ada yang berangkat sehari sebelumnya ke KLIA. Rombongan seramai 38 orang, 14 daripadanya dari Sabah.

Di pesawat KKIA-KLIA, selain buku-buku berkenaan umrah dan ziarah yang perlu diulangkaji semula, saya dapat menyelesaikan surah al-Baqarah. Selebihnya, mata terlelap keletihan.

Tiba di KLIA sekitar 3.30 petang, kami berkumpul semula. Bertemu dengan Ust Yusrizal Yusri yang baru kehilangan isteri seminggu sebelumnya. Beliau yang kelihatan semakin cengkung hadir untuk menghantar dan mengucap selamat jalan kepada kami.

Begitu juga Tuan Hj Omar Tompang yang memberikan sokongan buat kami semua. Beliau pernah bertugas lama di Lembaga Koko Sabah dan pengimarah tetap Surau Riyadhus Solihin Taman Austral dan setiausahanya sebelum berpindah ke Selangor pertengahan tahun lalu.

Antara rombongan kami ialah Tuan Hj Che Mat dan isteri yang baru berpindah dari LHDN Sabah ke Selangor sebulan lalu; Ust Zulkifli Mustafa yang pernah bertugas di Maktab Sabah dan Ust Shahrul Nizam yang pernah berkhidmat di Tawau.

Selain itu terdapat rombongan keluarga, pasangan suami isteri dan rakan-rakan rombongan yang baru dikenali.

Perjalanan pergi memang agak meletihkan kerana kami akan singgah di beberapa destinasi sebelum tiba di Tanah Suci. Dari KLIA, kami berangkat singgah ke Chennai, Madras India.

Ketika perjalanan masuk ke pesawat MAS ini, separuh daripada kami ditahan kerana beg terlalu banyak dan besar. Semua rombongan kami membawa barangan secara bimbit kerana untuk masuk ke India memerlukan visa.

Walaupun pada mulanya keadaan sedikit tegang kerana halangan berkenaan, alhamdulillah ia kemudiannya selesai dengan baik. Di dalam pesawat yang besar itu hakikatnya masih banyak ruang kosong untuk meletakkan beg-beg kami.

Di kalangan rakan-rakan rombongan, kedudukan tempat duduk saya terkehadapan dan bersendirian. Di kiri kanan, depan dan belakang semuanya orang India belaka. Rakan-rakan lain duduk berhampiran di sebelah belakang.

Sebenarnya tempat duduk saya di belakang, bersebelahan dengan isteri Ust Mad, Ustazah Atiah. Tak apalah bagi peluang dengan pasangan romantik ini duduk bersama untuk perjalanan sekitar 3 jam menuju ke Chennai.

Dalam penerbangan, penumpang dihidangkan dengan arak. Seorang pramugara yang bernama Sulaiman dengan senang hati menghidangkan arak kepada pakcik India sebelah saya. Kali kedua Sulaiman datang, pakcik tu minta lagi 2 gelas. Sulaiman tunjuk isyarat ibu jari tanda bagus pada pakcik tu.

Datang pula pramugari lain, dia minta lagi. Keseluruhannya, pakcik berkenaan tidak salah saya meminta 4 gelas + 1 tin arak. Sehingga apabila saya dihidang dengan air epal, tidak tergamak meminumnya kerana warnanya yang lebih kurang dengan arak.

Kami tiba di Chennai, Madras sekitar 12.15 tengah  malam waktu Malaysia (kira-kira 9.30 malam waktu Chennai).

Meski tengah malam, pemandangan dari udara dan juga persekitaran lapangan terbang nampaknya sentiasa sibuk. Mungkin ada yang terfikir mengapa kedai dan restoran mamak di Malaysia dibuka 24 jam, kerana kehidupan di India terlalu sibuk dengan urusan manusia.

Di sini kami tidak keluar daripada bangunan lapangan terbang. Solat, makan, bersembang, berehat dan tidur di kawasan dalam bangunan sahaja.

Pegawai dan kakitangan yang mengurus kami di sini juga amat baik hati. Mereka menyediakan sedikit jamuan ringan berupa air kotak, air mineral dan kuih muih.

Sekitar 6 jam di sini, kami berangkat menuju destinasi selanjutnya, Sharjah Emeriah Arab Bersatu (UAE). Sebelum bergerak ke Sharjah, saya sudah menamatkan surah al-Maidah (masuk juz 7).

Bersambung…

Baru sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Madras India. Di sini, pegawai MAS sedia menyambut kami dan menguruskan perjalanan kami seterusnya.

Sebahagian sahabat rombongan menunaikan solat maghrib & isyak jama’ ta’khir di kawasan lapang dalam bilik menunggu. Tiada surau di sini. Rakan-rakan berbincang dan berijtihad berkenaan arah qiblat kerana tiada yang tahu kedudukannya. Petugas di lapangan terbang yang ditemui pula, tiada yang beragama Islam.

Sebahagian sahabat rombongan bergambar kenangan di kawasan rehat dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Madras India.

Tiket dari Chennai ke Shahjah, UAE.

Advertisements