12 Mac 2005

Jam 8 pagi, isteri mula merasa sakit hendak bersalin anak kedua walaupun tarikh jangkaan hanya dua minggu lagi. Jarak sakitnya terlalu hampir dan berulang-ulang.

Dari rumah kami bergerak ke Hospital Queen Elizabeth sekitar jam 8.30 pagi. Ini pengalaman baru menghantar isteri ke hospital untuk bersalin, kerana anak pertama lahir di rumah ketika kami di Mesir.

Dalam resah dan kelam kabut, kami tiba di QEH dalam tempoh 15 minit. Tiba di sana, rupa-rupanya, mulai tarikh ini wad bersalin di QEH ditutup sepenuhnya dan semua operasi berkait dengan ibu dan anak dipindahkan ke Hospital Likas.

Mujurlah hari sabtu, jalanraya tidak sesak. Kami bergerak lagi sebelum tiba di Hospital Likas 15 minit kemudian. Alhamdulillah, sebelum tengahari isteri saya selamat bersalin anak kedua. Hana Sumayyah.

12 Mac 2008

Beberapa hari sebelumnya saya pulang ke WP Labuan untuk balik mengundi buat kali pertamanya. 8 Mac 2008, menjadi kenangan istimewa kerana saya mengundi buat kali pertama.

Saya balik berdua dengan anak sulung, Nuha kerana isteri sedang menunggu hari untuk bersalin anak keempat. Saya pulang ke WP Labuan sehari sebelum mengundi, dan kembali ke Kota Kinabalu selepas selesai mengundi pagi 8 Mac.

Empat hari selepas mengundi, isteri saya selamat bersalin anak perempuan di Hospital Likas. Suasana panas politik negara akibat tsunami PRU itu membuatkan ahli keluarga besar kami sibuk mencadang nama anak kami dengan nama-nama ahli politik yang menang sebagai Ahli Parlimen.

Ada yang cadangkan nama¬†Nurul Izzah (Lembah Pantai), Siti Mariah (Kota Raja) dan lain-lain. Akhirnya kami sepakat menamakan anak keempat ini dengan nama Lu’lu’ Badriyyah. Bersempena dengan AP Titiwangsa Dr Lo’Lo’ dan bulan purnama (badriyyah).

Semoga kedua-duanya menjadi anak yang solehah dan berbakti buat agama ini. Amin.