Archive for 10 Mac 2010


SEBELUM BERANGKAT

Saya ada masa hari ini dan esok sebelum bercuti panjang. Dalam tempoh kurang 48 jam terakhir ini, tugasan pejabat, kuliah dan lain-lain begitu menghambat.

Pagi tadi ada mesyuarat MTQ Peringkat Kementerian-Kementerian Negeri dan Persekutuan Sabah. Saya yang menyediakan kertas konsepnya. Memang sejak seminggu lalu sudah bertungkus lumus mengerjakannya bersama rakan sepejabat, khususnya Ust Abdillah Nanun yang banyak membantu.

Ramai gemarkan cara Pengarah JHEAINS Datuk Hj Amri mempengerusikan mesyuarat. Cepat siap dan tidak meleret-leret. Mesyuarat tadi bermula 9.15 pagi dan selesai setengah jam kemudian.

Alhamdulillah, semua kementerian menghantar wakil untuk mesyuarat ini. Semua 11 kementerian + satu jabatan persekutuan dikehendaki mengadakan MTQ peringkat masing-masing pada bulan Mac ini juga.

Jam 11 pagi saya mohon izin untuk ke premis Celcom di Wawasan Plaza. Proses roaming nombor telefon bimbit dan menukar simkad biasa kepada simkad 3G.

Selesai zuhur di Masjid Negeri, ada kelas mengaji di SPANS Blok B Wisma MUIS. Tidak sampai hati untuk ‘mencutikan’ kelas lebih awal, walaupun tugasan lain agak bertimbun di meja.

Petang, saya menyiapkan soalan-soalan tafsir untuk Majlis Menghafaz al-Quran Negeri Sabah esok. Dalam format Majlis Menghafaz ini, ada soalan tafsir kepada peserta kategori 1-30 juzu.

Sampai rumah 6.40 petang, saya bersalin baju untuk terus ke kuliah maghrib di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral. Kuliah al-Quran, tajwid dan tafsir kali ini merujuk dua muka surat daripada surah al-Baqarah mulai ayat 211 hingga 219.

Jam 9 malam, ada mesyuarat pula. Kami bercadang untuk membuat satu program tarbiah kepada para pendakwah. Kertas kerja dibentang, dan perbincangan berlanjutan hingga hampir 11 malam.

Esok, ada tugasan di luar. Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Maahad Tahfiz al-Quran pada sebelah pagi. Saya hanya ada masa petang di pejabat untuk menyelesaikan tugasan terakhir.

Kolum Kemusykilan Agama untuk Shoutul Islam, minit mesyuarat MTQ Kementerian, laporan ajaran sesat dan lain-lain. Ada masa sekitar 3 jam sahaja sebelum bercuti. Mudah-mudahan Allah SWT membantu.

CUCUK

Selesai kuliah maghrib di Kg Muhibbah, ada kenduri kecil di Surau Austral. Saya terlambat sedikit dan majlis tengah makan-makan.

Khabarnya maghrib itu, Ust Hj Muchlish Ali Kasim memberi tazkirah kepada rombongan yang akan berangkat ke tanah suci hujung minggu ini. Beberapa tips dan petua disampaikan daripada seorang guru.

Selesai jamuan, tibalah acara ‘cucuk-menyucuk’. Lapan orang peserta rombongan disuntik jarum oleh Dr Hjh Khatijah dari Klinik Aslam.

Terima kasih Dr Hjh Khatijah dan suami Hj Abu Aslam bersama rombongan Farmasi Aslam. Gambar sumbangan Tuan Hj Roslin Abd Samad.

%d bloggers like this: