Archive for 9 Mac 2010


MENGAKU SALAH

KOTA KINABALU, 9 Mac — Bekas Anggota Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan pindaan menipu sebuah bank bagi tujuan permohonan pinjaman perumahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah memberitahu Hakim Duncan Sikodol bahawa pertuduhan dipinda kepada Seksyen 109 (1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi satu lagi tuduhan, Hakim Sikodol melepaskan dan membebaskan Suhaili daripada tuduhan memberi maklumat palsu dalam satu akuan bersumpah pada 1995 selepas Fariza memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah.

Pada 14 April tahun lepas, Suhaili mengaku tidak bersalah membuat kenyataan palsu itu kepada Mohd Naser Mohd Noor, seorang Jaksa Pendamai, berhubung pendaftaran syarikatnya, Saraequity Sdn Bhd, pada 3 Ogos 1995.

Pada 13 April tahun lepas pula, Suhaili, 48, bekas Pengerusi Perbadanan Labuan sehingga 31 Mac tahun lepas, mengaku tidak bersalah kerana menipu dengan menggunakan kad pengenalan yang bukan miliknya untuk menjadi penjamin dalam permohonan pinjaman itu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan rotan dan juga boleh dikenakan denda.

Suhaili, yang diwakili peguam Rakbir Singh, dituduh menipu pengurus bank Malayan Banking Berhad, Ismail Jantan, di cawangan Kota Kinabalu tanpa memaklumkan bank berkenaan bahawa beliau muflis pada 3 April 1996 dalam permohonan pinjaman perumahan syarikatnya, Saraequity Sdn Bhd, sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 untuk membeli satu unit apartmen di Api-Api Centre di sini.

Fariza memberitahu mahkamah bahawa Suhaili diisytihar muflis melalui perintah mahkamah pada 3 April 1993 dan dilepaskan daripada kebankrapan pada 9 Mei 1997, lebih setahun selepas permohonan pinjaman itu diluluskan oleh bank berkenaan.

Sikodol menetapkan esok untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman.

Suhaili sepatutnya dibicarakan selama seminggu mulai hari ini tetapi pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan pindaan terhadap pertuduhan itu yang membawa hukuman yang lebih ringan. — Bernama

Ketika hadir untuk kuliah maghrib selasa lalu di masjid ini, saya sudah nampak gelanggang bola keranjang yang berada di hadapan masjid nampaknya diaspal baru.

Rupanya, ada satu projek kerajaan untuk membina gelanggang futsal betul-betul di hadapan masjid. Minggu lalu itu juga sudah ada jamaah di sana yang menceritakan bantahan jamaah masjid tetapi saya tidak begitu mengambil berat cerita mereka.

Pada mulanya, saya juga beranggapan ia satu kelebihan buat masjid kerana peraturan boleh dikenakan kepada pengguna gelanggang futsal agar menghentikan seketika pada waktu solat dan mereka dikehendaki solat berjamaah.

Namun apabila saya bertemu dengan beberapa orang kuat JK Masjid, rupanya bantahan mereka berasas.

Kini, separuh kawasan parkir kenderaan sudah terhalang dengan pembinaan gelanggang ini. Khususnya untuk solat Jumaat, jamaah yang datang berkenderaan bakal terjejas.

Kata mereka, kalau pun gelanggang futsal hendak dibina, carilah kawasan lain yang lebih sesuai.

Lagipun kata mereka, kalaupun peraturan menghormati waktu solat dibuat, ia mungkin hanya kekal di atas kertas. Budaya main futsal kadang-kadang agak melampau.

Kalau dulu-dulu anak-anak muda main bola sampai waktu maghrib, kini main bola sampai tengah malam. Percampuran lelaki perempuan main bola sama-sama sudah dianggap biasa. Saya tidak terbayang kalau ia berlaku di hadapan masjid.

Keadaan yang aman sebelum ini untuk beribadah, sudah sedikit terganggu dengan umpat mengumpat. Sensitiviti beribadah dan beragama sedikit terusik dengan perbuatan mereka yang pentingkan diri.

Surat bantahan kepada pengarah Jabatan Belia dan Sukan khabarnya sudah dibuat dan bakal dihantar dalam masa terdekat. Dalam perbincangan yang panas minggu lalu dengan kontraktor yang juga ahli JKKK bersama jamaah masjid, mereka berharap ada penyelesaian yang tuntas dapat diputuskan untuk kebaikan semua.

Saya ada cadangkan agar solat hajat dibuat, memohon kepada Allah SWT memberi ketenangan dalam beribadah, ketenteraman dalam bermasyarakat.

%d bloggers like this: