Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju apabila dipelawa oleh Ustazah Norliyah Shahmin untuk menyampaikan ceramah Maulidur Rasul SAW di SMK Tambunan hari ini.

Jemputan itu disampaikan kepada saya tidak salah sebulan lalu.

Saya bertolak solo tanpa teman dari rumah jam 7.15 pagi dan tiba di perkarangan sekolah berkenaan jam 8.35 pagi. Sejujurnya saya bimbang lewat tiba, lantaran tidak mengetahui jarak perjalanan secara tepat dan jadual ceramah saya bermula.

SMK Tambunan mempunyai sejumlah 1400 pelajar, namun hanya sekitar 200 sahaja beragama Islam. Jadi sudah tentu ia menjadi perjuangan yang getir buat guru-guru agama seramai 3 orang di sana.

Program didahului dengan perarakan pelajar daripada 3 buah sekolah. SMK Nambayan, Pelajar dari Rumah Anak Yatim (RAY) dan SMK Tambunan selaku tuan rumah.

Sebagaimana yang saya suarakan kepada Ustazah Norliyah pagi itu, perarakan seumpama ini sangat perlu di lokasi seperti Tambunan ini di mana umat Islam menjadi minoriti. Amat perlu umat Islam menunjukkan syiar agama ini.

Saya teringat kisah pengislaman Hj Nicholas Sylvester. Katanya, antara asbabnya ialah apabila beliau begitu teruja melihat umat Islam berarak dan bersolawat dengan bersemangat sekali. Peristiwa itu menjadi tarikan penting buatnya sebelum memeluk Islam.

Ceramah saya di hadapan kira-kira 300 hadirin berlangsung 40 minit sahaja. Saya sendiri meringkaskannya walaupun masa diberi selama sejam. Antara isi ceramah yang saya tekankan ialah penampilan diri dan akhlak luhur selaku orang Islam tambahan pelajar muslim sekolah ini sangat minoriti.

Saya bertolak pulang jam 1 tengahari setelah selesai jamuan tengahari dan solat zuhur.

Alhamdulillah, saya mendapat ramai teman dan kenalan baru di sini. Ustazah Norliyah dan suami Ust Hairulnizam Khairon, Ust Nasir Razali, Ust Mazri Khalik, Ust Hatta Rosli dan tidak ketinggalan Ust Mohd Yassin Hj Yunus Penyelia Guru Pendidikan Islam Daerah Tambunan yang rupanya kerap melayari blog Abu Nuha Corner ini.

Tadi, saya sudah menyusun secara ringkas satu program solo ke Daerah Tambunan, merangkumi program di masjid, surau, sekolah, ziarah muallaf, pendakwah, anak yatim dan hospital.

Insya Allah, saya akan hadir lagi untuk sekurang-kurangnya 10 program padat jumaat-ahad sebagaimana telah saya buat di daerah Tenom tahun lalu. Semoga ada yang sudi membantu menaja dan menyumbang.

Saat ini saya masih teruja lagi. Terima kasih pihak sekolah, khususnya buat pengetua Tuan Hj Mohammad Mohlis Yusak, tenaga pengajar dan semua peserta dan pelajar.