Kalau seseorang itu meminati seorang penyanyi, dia akan sering mendendangkan lagu artis pujaannya. Dia membeli koleksi album artis berkenaan, sentiasa mengambil berat perkembangan artis berkenaan.

Sebagai peminat setia, dia mengetahui tarikh lahir artis pujaannya, warna kegemarannya, jenis keretanya, makanan kesukaannya, aktiviti hariannya. Sekiranya berpeluang, ingin benar dia dekat dengan artis berkenaan.

Kalau seseorang itu meminati sebuah pasukan bola, dia akan sering mengikuti perlawanan membabitkan pasukannya, sama ada terus di stadium bola atau siaran langsung di kaca tv. Dia mengambil berat perkembangan  jatuh bangun pasukannya.

Dia membeli dan ada koleksi jersey pasukan kesayangan, sticker ditampal di kereta, ada topi lambang pasukan pujaan dan apa sahaja lambang berkaitan pasukan pujaannya sedayanya dimiliki. Kalau ada orang mengutuk pasukan pilihannya, dia bermati-matian mempertahankannya.

***

Dia bilang, dia cinta Nabi.

Tapi tidak pernah solat berjamaah di masjid sebagaimana yang Nabi selalu buat; jarang sekali menyebut-nyebut nama Nabi melalui solawat, tidak tahu pun bentuk tubuh badan Nabi SAW sebagaimana dia kenali artis pujaannya.

Dia tidak tahu kegemaran Nabi, pakaian Nabi, warna kesukaan Nabi, cara Nabi berjalan, buah yang Nabi makan, gurauan Nabi, kemarahan Nabi, keluarga Nabi SAW.

Apa Nabi suruh, dia buat tak tahu. Apa Nabi larang, dia tak layan. Tapi menjelang 12 Rabiul Awwal, dia kata dia sayang Nabi.

Tazkirah BPI, JHEAINS