Barangkali dalam keluarga besar kami, pernikahannya antara yang dinanti-nanti.

Alhamdulillah, ketika umur mencecah 36 tahun, jodohnya tiba dan bertemu dengan Nurul Fitriyah 22 tahun dari Kg Tunggul Tinggi Sipitang.

Azlimun adalah adik berlainan ibu dengan bapa kami dalam keluarga besar. Dalam seluruh adik beradik mereka, kini hanya tinggal seorang lagi yang masih belum berumahtangga.

Sementara di sebelah keluarga besar emak, beberapa sepupu yang berumur masih bergelar bujangan sudah berumur 40an dan 50an keatas.

Pernikahan Azlimun berlangsung secara ringkas di bilik VIP Masjid Negeri Sabah dan dinikahkan oleh Ust Hj Imbran Anggun, Pengawai Agama Istana Negeri pada jam 2.15 petang tadi dan berakhir 20 minit kemudian.

Kedua-dua pihak keluarga hadir termasuk dari Sipitang dan Kota Kinabalu. Turut hadir, Ust Mohammad Sidik Ag Adi, Timbalan Pengarah (HEI) JHEAINS.

Kenduri walimatul ‘urus dijangka berlangsung pada 14 Mac ini di Sipitang.

Isteri saya mengingatkan, Nurul Fitriyah yang berumur 22 tahun akan dipanggil nenek oleh anak-anak saya. Azlimun meski 36 tahun bertaraf pakcik kepada saya kerana dia adalah bersaudara dengan bapa.

Jadi mereka adalah pangkat nenek dan datuk kepada anak-anak saya juga…