Archive for 4 Mac 2010


BAKAL DISERAH

Hasil daripada promosi yang dilakukan di merata tempat, di surau masjid, pejabat dan seumpamanya, rakan-rakan dapat mengumpul sejumlah pakaian terpakai dan wang untuk disampaikan kepada penduduk Kg Sri Pandan yang terlibat dalam musibah kebakaran minggu lepas.

Duit yang terkumpul telah digunakan untuk membeli makanan seperti gula, biskut, minyak, mee dan sebagainya.

Insya Allah dalam masa terdekat, ia akan diserahkan kepada mereka yang terbabit. Rakan-rakan yang diamanahkan tugas, telahpun berhubung dengan pihak kampung untuk datang membuat serahan.

Dalam pada itu, bagi yang ingin menyumbang, teruskan sumbangan anda. Insya Allah, akan ada sumbangan kedua, ketiga dan seterusnya jika ada para penyumbangnya.

Gambar-gambar ini adalah aktiviti terakhir sebelum sumbangan diserahkan kepada mangsa kebakaran.

Para petugas telah bertungkus lumus sehingga tengah malam untuk melakukan pembahagian barangan ke dalam plastik yang disediakan, tidak termasuk berkotak-kotak pakaian yang disumbangkan oleh orang ramai.

Pada zaman Nabi SAW, berlaku satu forum. Nabi SAW sebagai panel tunggalnya sementara seorang lelaki asing yang tidak dikenali bertindak sebagai pengerusinya, sementara para sahabat baginda SAW sebagai audiennya. 

Kehadiran seseorang yang tidak dikenali pada awal majlis juga menghairankan audien yang hadir. Hendak dikatakan orang jauh, tiada tanda jelas yang menunjukkan kesan perjalanannya. Pakaiannya yang putih kemas dan rambutnya pula rapi berwarna hitam.

Hendak dikatakan lelaki itu orang tempatan, tiada siapapun di kalangan mereka yang mengenalinya. Kehadirannya sejak awal lagi menarik perhatian mereka. Dia duduk berhadapan dengan Nabi SAW menunjukkan adab belajar yang dipraktikkan oleh lelaki berkenaan.

Forum itu berkisar tentang 4 perkara. Islam, iman, ihsan dan hari kiamat.

Nabi menjelaskan rukun Islam, rukun iman, makna ihsan dan beberapa tanda hari kiamat yang begitu signifikan sekali pada akhir zaman ini. Rukun-rukun Islam berkenaan, sudah tentu mempunyai kelebihan dan kekuatan di antara satu dengan lain.

Syahadah sebagai kuncinya, solat sebagai tiangnya, puasa pula adalah ibadah yang tidak dapat dilihat, zakat yang sentiasa berganding dengan solat dan menjadi syarat penerimaan puasa. Haji pula satu-satunya ibadah rukun Islam yang dinamakan sebagai nama surah di dalam al-Quran.

Nabi menjelaskan tentang rukun iman yang menjadi dasar kepercayaan seorang muslim. Di mana, penganut agama ini tidak boleh memilih sesuka hati rukun yang dikehendakinya atau mengabaikan salah satu daripada yang enam itu.

Nabi SAW turut menjelaskan hakikat ihsan iaitu beramal kerana Allah. Walaupun kita tidak dapat melihatnya, yang pasti Allah melihat kita. Inilah yang dinamakan keikhlasan. Sama ada di hadapan atau di belakang orang, dipuji atau dikeji, amalannya berjalan seperti biasa kerana Allah SWT.

Soalan terakhir berkait tentang tanda-tanda kiamat. Dua tanda yang disebut Nabi SAW, iaitu apabila seorang ibu melahirkan tuannya dengan dua maksud. Pertama mungkin ramai anak yang derhaka kepada ibunya sehingga ibu menjadi ‘ulun’ atau hamba suruhannya.

Maksud kedua ialah berlakunya peperangan pada akhir zaman sehingga terjadi penawanan perang, lalu dijadikan hamba. Hamba yang digauli oleh tuannya sehingga ia mengandung dan bersalin, anak itu dihukumkan sebagai merdeka, sedang ibunya tetap sebagai hamba.

Tanda kiamat yang kedua ialah orang yang papa dan miskin menjadi kaya raya, menjadi ahli korporat terkemuka.

Selang beberapa ketika, Nabi SAW bertanya kepada Sayyidina Umar RA yang menceritakan detik forum ini berlaku. Baginda bertanya adakah mereka tahu siapa yang menjadi pengerusi forum berkenaan, Sayyidina Umar menjawab, Allah dan Rasulullah yang lebih mengetahui.

Nabi SAW menjelaskan, yang datang itu ialah Malaikat Jibril. Dia hadir untuk memberi pengajaran kepada kamu tentang perkara dasar agama Islam. Demikianlah ceritanya.

Kuliah Bulanan Hadith 40, Surau JPJ, Bundusan Penampang.

%d bloggers like this: