Archive for 28 Februari 2010


DARI ATAS

Perjalanan pulang, kami ikut jalan Keningau-Kimanis.

Berhenti dua kali di perjalanan. Nampak bandar Keningau dari sini. Sungguh indah ciptaan Allah SWT. Lama sedikit melihat, rasa gayat pun ada. Hebat dan agungnya Allah, lemah dan kerdilnya manusia.

Kira-kira 13 tahun lalu, ketika zaman mengaji di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah, kami pernah berkunjung ke kampung ini untuk mengadakan program motivasi kepada anak-anak kampung.

Kesempatan bermalam di Keningau, saya ambil kesempatan untuk berkunjung ke kampung ini sekali lagi. Saya ditemani oleh Ust Haziq, orang Kelantan yang bertugas di sini sejak 6 tahun lalu.

Sebenarnya saya dijadualkan memberi kuliah subuh di Masjid at-Taqwa, namun keinginan ke Kampung Kota Ayangan untuk mengimbas kembali kenangan berziarah 13 tahun lalu begitu kuat sekali.

Kami solat subuh di Masjid al-Haq, Kg Kota Ayangan dan kuliah selepasnya secara santai sahaja. Rasanya ketika kami datang, masjidnya masih kecil dan kayu, kini sudah bertambah. Bahkan di hadapan masjid ini sedang dibina sebuah masjid baru.

Selepas solat subuh, Ust Haziq membawa saya berziarah ke rumah pengerusi masjid, Cikgu Musa Numan, 54 tahun. Beliau bercerita panjang berkenaan keluarganya, perkembangan Islam dan dakwah di kampung ini yang 95% penduduknya beragama Islam.

Ketika kami datang pada 1997, kami disambut juga oleh Cikgu Musa yang pada  masa itu sebagai pengerusi masjid. Sebenarnya program kami tahun itu diatur oleh anaknya, Ustazah Norhayati Musa yang juga siswi maahad tahfiz.

Hasil cerita Cikgu Musa dan Ust Haziq, nampaknya potensi masjid ini sangat baik dan positif sekali.

Kami sempat meninjau aktiviti penternakan itik, angsa dan ayam di belakang rumah Cikgu Musa. Khabarnya setiap hari sekitar 70 biji telur itik diperolehi mereka.  Juga ada kolam ikan di sebelahnya.

Terima kasih layanan Cikgu Musa sekeluarga. Terima kasih Ust Haziq yang menemani sepanjang perjalanan. Insya Allah, ada umur akan datang semula.

(Saya mencari-cari koleksi gambar lama sepanjang berprogram di sini pada 1997, namun tidak bertemu..)

%d bloggers like this: