Seminggu lalu, bekas Pengarah JHEAINS Datuk Pg Hj Nohin Pg Rauf ada menghubungi saya tentang masjid baru di Kg Pengalat Besar, Papar. Kalau tidak salah, beliau adalah penasihat JK masjid berkenaan.

Masjid ini telahpun siap dan akan dimulakan menjelang jumaat sempena Maulidur Rasul SAW. Beliau memohon agar saya menyampaikan khutbah di masjid berkenaan dan menfokuskan soal pengimarahan masjid. (Khutbah akan saya muatkan).

Alhamdulillah, semalam saya hadir tepat 12.30 tengahari. Di sana selain jamaah yang siap menanti azan dilaungkan, turut hadir ADUN Kawang YB Datuk Ghulam Khan Bahadar bersama rombongannya.

Siapnya masjid ini telah menghentikan penantian penduduk kampung selama 4 tahun. Dalam tempoh itu mendirikan solat jumaat, solat waktu dan semua aktiviti keagamaan di sebuah dewan berdekatan.

Ketika khutbah disampaikan saya melihat, jamaah begitu sesak memenuhi ruang utama masjid yang boleh memuatkan sekitar 1000 jamaah.

Selesai khutbah, saya meminta sahabat saya Ust Ma’aruf Ishak mengimamkan solat Jumaat. Beliau adalah rakan sekelas di Shoubra Kaherah Mesir (2000-2003) dan berasal dari Selangor. Kini bertugas di SK Pekan Papar dan selalu berjamaah di kampung berkenaan.

Penyerahan simbolik kunci masjid dilakukan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan JHEAINS, Abd Razak Mumin kepada pengerusi JK Masjid berkenaan dan disaksikan oleh YB ADUN Kawang. Abd Razak mewakili Pengarah JHEAINS.

Harapnya aktiviti pengimarahan masjid akan semakin berkembang di kampung berkenaan.