Archive for 27 Februari 2010


MASJID AR-RAHIM PEKAN KENINGAU

Saya berkunjung ke Masjid ar-Rahim Pekan Keningau buat pertama kalinya untuk mengisi slot ceramah Maulidur Rasul yang diatur oleh Dr Ali dengan kerjasama JK Masjid berkenaan.

Masjid ini khabarnya sudah berusia sekitar 40 tahun dengan pembesaran demi pembesaran dibuat sehingga kini boleh memuatkan sekitar 2000 jamaah.

Solat jumaat diceritakan melimpah sehingga keluar dan lebih-lebih lagi pada musim hari raya sehingga ke padang yang berada di sebelah masjid.

Saya tiba lewat ketika solat maghrib sudah ke penghujung kerana baru saja tiba di Keningau dan di penginapanan hampir 6.30 petang. Sungguh tidak menyangka kehadiran ketika itu menjangkau lebih 200 orang.

Di kalangan mereka yang hadir, saya begitu segan melihat kehadiran begitu ramai para ustaz khususnya Ust Mokhtar Zainuddin, orang lama yang sudah berkecimpung dalam dunia dakwah hampir 40 tahun.

Beliau adalah rakan serombongan Ust Hj Muchlish Ali Kasim yang datang dari Medan pada 1974. Ust Mokhtar pernah bertugas di Pusat Latihan Dakwah Keningau sejak awal 80an, dan sebelum itu di Kuala Penyu dan Bongawan beberapa tahun.

Ceramah saya mulakan dengan meminta izin dan restu Ust Mokhtar yang sangat saya hormati. Saya mula mengenali dan mengetahui nama beliau sejak pertengahan 90an ketika kami belajar di SMA Toh Puan Hajjah Rahmah dan bertemu pertama kali pada 1997.

Selain tentang keperibadian Nabi SAW yang saya sentuh berdasarkan contoh-contoh hadith dan kisah yang berlaku, saya juga sebut berkenaan ajaran baginda yang mudah dan kecil-kecil tetapi selalu dilupai orang.

Alhamdulillah, walaupun masa ceramah tidak sampai sejam, saya bertemu dan berkenalan dengan ramai orang. Insya Allah ada umur bertemu lagi.

Terima kasih Ust Mokhtar, Pengerusi Masjid, seluruh JK dan jamaah yang hadir.

Hadapan : Pengerusi masjid di sebelah kiri (baju dan kopiah putih) dan Ust Mokhtar di sebelahnya (kain serban di bahu).

Seminggu lalu, bekas Pengarah JHEAINS Datuk Pg Hj Nohin Pg Rauf ada menghubungi saya tentang masjid baru di Kg Pengalat Besar, Papar. Kalau tidak salah, beliau adalah penasihat JK masjid berkenaan.

Masjid ini telahpun siap dan akan dimulakan menjelang jumaat sempena Maulidur Rasul SAW. Beliau memohon agar saya menyampaikan khutbah di masjid berkenaan dan menfokuskan soal pengimarahan masjid. (Khutbah akan saya muatkan).

Alhamdulillah, semalam saya hadir tepat 12.30 tengahari. Di sana selain jamaah yang siap menanti azan dilaungkan, turut hadir ADUN Kawang YB Datuk Ghulam Khan Bahadar bersama rombongannya.

Siapnya masjid ini telah menghentikan penantian penduduk kampung selama 4 tahun. Dalam tempoh itu mendirikan solat jumaat, solat waktu dan semua aktiviti keagamaan di sebuah dewan berdekatan.

Ketika khutbah disampaikan saya melihat, jamaah begitu sesak memenuhi ruang utama masjid yang boleh memuatkan sekitar 1000 jamaah.

Selesai khutbah, saya meminta sahabat saya Ust Ma’aruf Ishak mengimamkan solat Jumaat. Beliau adalah rakan sekelas di Shoubra Kaherah Mesir (2000-2003) dan berasal dari Selangor. Kini bertugas di SK Pekan Papar dan selalu berjamaah di kampung berkenaan.

Penyerahan simbolik kunci masjid dilakukan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan JHEAINS, Abd Razak Mumin kepada pengerusi JK Masjid berkenaan dan disaksikan oleh YB ADUN Kawang. Abd Razak mewakili Pengarah JHEAINS.

Harapnya aktiviti pengimarahan masjid akan semakin berkembang di kampung berkenaan.

%d bloggers like this: