Sumber rasmi Jabatan Bomba & Penyelamat kata 42 buah rumah musnah dalam kebakaran besar pagi ini di Kg Sri Pandan.

Sumber ketua kampung pula kata 70 buah rumah dan 79 ketua keluarga. Sumber rakan daripada Pejabat Daerah pula kata 52 rumah.

Namun yang penting, musibah sudah terjadi. Sebagai orang yang mengaku beriman dan bersaudara, hulurkanlah bantuan menurut kemampuan masing-masing.

Saya sendiri sebenarnya mula melihat kepulan asap seawal jam 8.55 pagi ketika bergerak ke Wisma MUIS, tetapi tidak menyangka kebakaran besar bakal berlaku.

Hampir jam 10 pagi, saya dimaklumkan oleh Pengerusi Masjid al-Hilal Tg Dumpil mengatakan kebakaran ketika itu sudah memusnahkan 5 buah rumah. Bergerak terus ke lokasi dari Wisma MUIS, mood untuk menyaksikan kesudahan majlis sambutan maulidur rasul sudah tiada lagi.

Saya terus mendapat maklum pelbagai sumber sms dan saksi kejadian bahawa tidak ada pili bomba di kawasan kejadian. Jentera bomba pula hanya mempunyai bekalan air yang terbatas. Wallahu a’lam.

Namun penduduk kampung dan anggota bomba tetap bekerja keras mengawal kebakaran. Begitu juga kawalan anggota trafik begitu pantas sekali mengawal jalan kampung agar tidak mengganggu kerja-kerja pemadaman.

Dari sudut lain, saya melihat kesatuan anak-anak murid Ust Hj Muchlish yang segera ‘berkubu’ dan berkumpul di rumah beliau. Yang jelas, kebakaran itu begitu hampir dengan rumah beliau. Kenderaan yang memenuhi laman rumahnya dialihkan oleh anak-anak murid.

Kelihatan para pelajar SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, para guru, jamaah Masjid Negeri, Surau Austral dan jamaah Masjid Kg Pasir Putih bergilir melawat rumah ustaz bagi memastikan bantuan yang boleh dihulurkan.

Demikianlah kasihnya kepada guru.

Dari sana, barulah kami bergerak melihat kebakaran berlaku. Satu demi satu rumah musnah dijilat api. Ketika itu cerita orang kampung, sudah 40 buah rumah musnah.

Sekejap angin bertiup kencang, dan kemudian perlahan pula. Bersama rakan-rakan, kami melihat sebuah rumah yang disambar api, musnah serta merta tidak sampai 5 minit.

Kalaulah kita mempelajari makna nama Allah yang disebut al-Jabbar, al-Qahhar dan seumpamanya, nescaya kita akan memahaminya hikmah kejadian ini. Mudah-mudahan ada pengajarannya kepada kita semua.

Pihak kami sekeluarga dan Abu Nuha Corner mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran, tidak lupa Ust Izhar Hussin sekeluara, seorang guru agama veteran yang rumahnya turut menjadi mangsa dalam musibah ini.

Kita adalah milik Allah, kepadaNya kita kembali.

11.35 pagi, saya beredar untuk bergerak pulang ke rumah sebelum ke Masjid Kg Pengalat Besar Papar menyampaikan khutbah di masjid baru dan ‘merasmikan’ mimbar jumaat mereka.

Selesai solat jumaat di Papar, saya kembali semula melihat sisa musibah ini. Kelihatan anggota bomba masih berkawal di tempat kejadian. Antara yang selamat ialah Surau Nurul Huda Kg Linsuk yang juga begitu hampir dengan salah sebuah rumah yang menjadi korban.

Sementara Surau al-Firdaus Kg Sri Pandan sedikit jauh dari lokasi dan terselamat dalam kejadian ini. Khabarnya surau-surau ini menjadi antara penempatan sementara bagi mangsa-mangsa kebakaran.

Edit : Sumber Berita Harian pula 45 buah rumah musnah.