Berdebarnya hati, Allah saja yang tahu.

Persediaan dengan soalan-soalan jangka sudah selesai semalam, cuma sekitar jam 10 pagi, saya sempat melayari youtube kuliah Syeikh Nuruddin al-Banjari berkenaan dengan maulidur rasul.

Beliau menjawab persoalan kebaikan mengadakan maulidur rasul. Alhamdulillah, ketika ke udara jam 11.50 pagi tadi, itulah soalan pertama yang diutarakan oleh penyampai Sabah FM, Kak Hajjah Napsiah.

“Orang kata tidak boleh menyambut maulidur rasul, betul ka ustaz?”

“Justeru, Nabi SAW berpuasa pada hari isnin hikmahnya memperingati hari kelahiran baginda”. Saya tidak dapat menjawab panjang kerana hambatan masa. Jujurnya saya kurang puas hati juga sebab nampak macam tergantung.

Sebenarnya apa sahaja program yang menunjukkan kasih sayang kepada baginda, adalah dibenarkan. Namun begitulah, pro dan kontra tetap ada terutama kepada pihak yang suka mengungkit tentang kebid’ahan menyambutnya.

Saya sendiri tiba di studio sekitar 11.30 pagi bersama Cik Siti Irma selaku urusetia JHEAINS bagi program ini sebelum dibawa berehat di pejabat staf Sabah FM.

Program tadi bermula terlewat sedikit kerana memberi laluan kepada wawancara Amanah Saham 1 Malaysia pada 11.30 hingga 11.50 pagi. Mujur juga ada masa tambahan diberikan.

Itupun jangkaan 6 soalan tidak menjadi. Hanya 3 soalan diberikan dan soalan terakhir itu pun sekerat jalan saja. Orang kata, kita baru mau naik syeh, Kak Hajjah sudah tamatkan.

Saya sempat membicarakan tentang ajaran dan budaya hidup masyarakat jahiliyyah dari segi aqidah dan cara hidup. Antaranya yang berkait dengan berhala seperti penyembahan, penyembelihan, nazar dan hadiah kepada berhala; fahaman tentang kesialan pada masa tertentu; menenung nasib, dan seumpamanya.

Begitu juga daripada segi cara hidup yang songsang seperti membunuh anak perempuan, pelacuran, minum arak, berjudi dan sebagainya.

Sempat juga mengaitkan kehidupan masa jahiliyyah itu dengan budaya jahiliyyah yang berlaku pada zaman moden ini.

Sebenarnya sebahagian besar perkara yang berlaku pada zaman jahiliyyah berlaku pada zaman kita, bahkan ada yang lebih dahsyat lagi.

Contohnya, kalau pada zaman jahiliyyah bayi yang dibuang itu hanya anak perempuan, zaman nabi musa dan firaun, bayi yang dibuang hanya anak lelaki. Zaman kita ini tidak mengira jantina.

Berjudi bukan saja di kedai nombor ekor, ada orang bertaruh ketika menonton bola, menonton lumba kuda, bahkan berjudi ketika main golf.

Bomoh dan pawang yang banyak diamalkan oleh masyarakat zaman ini, kalau hilang barang, hilang kereta cari pawang di mana letaknya, siapa curi macam dalam filem nujum pak belalang tu.

Dalam hal ini Nabi SAW ada bersabda :

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا

Barangsiapa yang jumpa bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia percaya apa kata bomoh itu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. (Riwayat Muslim)

Sama saja perbuatan sebahagian masyarakat, dia tengok majalah, buku atau dalam facebook. Ramalan nasib dia dalam bulan aries, pisces dan sebagainya, itu tidak boleh. Sebab meramal ini menjadikan dia mendahului taqdir dan menjadi pemalas.

Terkejut ada, sedih ada dan hendak ketawa pun ada, apabila soalan dibuka kepada pendengar. Soalannya sangat asas gagal dijawab oleh seorang pendengar.

“Apa bangsa Nabi Muhammad SAW? Bajau? Dusun? India? Arab?”

“India!”

Apapun, ini suatu pengalaman yang sangat menarik dan  berharga. Mudah-mudahan saya tidak tersilap dalam membentang pendapat dan hujjah. Jika ada kesilapan dan kekurangan, kepada Allah saya memohon keampunan.

Terima kasih semuanya yang memberi sokongan. Tidak ketinggalan, Kak Hajjah Napsiah dan Cik Siti yang menemani di studio Sabah FM.