Rasanya pengalaman ini ramai yang merasainya. Kadang-kadang melucukan, menyakitkan, memalukan atau menggeramkan hati yang mendengarnya.

Hampir 10 tahun lalu, dalam bulan Ramadhan berlangsung majlis khatam al-Quran di sebuah dewan. Ia dihadiri oleh ramai orang khususnya para ustaz dan pendakwah. Selepas majlis khatam dan berbuka puasa, solat maghrib didirikan.

Tengah-tengah solat itulah berbunyi telefon bimbit. Bunyinya dari arah saf pertama, agak kuat dan boleh didengar seluruh orang yang hadir. Memanglah ketika itu solat agak terganggu dengan bunyi telefon berkenaan.

Yang melucukan, bunyinya adalah lagu joget Siti Nurhaliza. Selesai solat, ramai yang sinis terhadap pemilik telefon berkenaan walaupun sehingga kini saya tidak tahu siapa orangnya. Kiri kanan berbisik-bisik, ustaz mana peminat Siti Nurhaliza nii?

Saya pernah melihat seorang pakcik yang sedang solat sunat ba’diyah zuhur. Bila saja telefon bimbitnya berbunyi bising dengan lagu hip hop, kelam kabut dia menyudahkan sembahyang, sehingga meninggalkan toma’ninah. Laju macam ayam sedang mematuk saja gayanya.

Orang yang menelefon pula, sudah sekali tidak berjawab, dia telefon lagi sehingga panggilannya dijawab.

Yang kasihannya, ada orang-orang veteran yang punya telefon bimbit, tidak tahu cara hendak tutup atau senyapkan bunyi telefon bimbitnya. Sudah berbunyi dalam majlis, kelam kabut berlari keluar dan menjawab. Sudah masuk kembali berbunyi lagi.

Satu segi yang tidak boleh dinafikan, ia juga termasuk gangguan dalam solat yang mungkin digerakkan oleh syaitan kepada pemanggil agar menelefon rakannya, atau syaitan telah melupakan pemilik telefon bimbit daripada menutup bunyinya.

Kalau di masjid dan surau, elok juga para imam atau bilal menambah peringatan kepada jamaah selain merapat dan meluruskan saf, ingatkan juga agar mematikan telefon bimbit sebentar.

Satu masa dulu pihak Telekom Malaysia (TM) ada menyediakan iklan-iklan agar jamaah masjid surau menutup seketika bunyi telefon bimbit mereka bagi menghormati orang dan suasana beribadah di dalamnya.

Rasanya ia perlu dibuat dan disebar sekali lagi.