Archive for 23 Februari 2010


BUNYI TELEFON

Rasanya pengalaman ini ramai yang merasainya. Kadang-kadang melucukan, menyakitkan, memalukan atau menggeramkan hati yang mendengarnya.

Hampir 10 tahun lalu, dalam bulan Ramadhan berlangsung majlis khatam al-Quran di sebuah dewan. Ia dihadiri oleh ramai orang khususnya para ustaz dan pendakwah. Selepas majlis khatam dan berbuka puasa, solat maghrib didirikan.

Tengah-tengah solat itulah berbunyi telefon bimbit. Bunyinya dari arah saf pertama, agak kuat dan boleh didengar seluruh orang yang hadir. Memanglah ketika itu solat agak terganggu dengan bunyi telefon berkenaan.

Yang melucukan, bunyinya adalah lagu joget Siti Nurhaliza. Selesai solat, ramai yang sinis terhadap pemilik telefon berkenaan walaupun sehingga kini saya tidak tahu siapa orangnya. Kiri kanan berbisik-bisik, ustaz mana peminat Siti Nurhaliza nii?

Saya pernah melihat seorang pakcik yang sedang solat sunat ba’diyah zuhur. Bila saja telefon bimbitnya berbunyi bising dengan lagu hip hop, kelam kabut dia menyudahkan sembahyang, sehingga meninggalkan toma’ninah. Laju macam ayam sedang mematuk saja gayanya.

Orang yang menelefon pula, sudah sekali tidak berjawab, dia telefon lagi sehingga panggilannya dijawab.

Yang kasihannya, ada orang-orang veteran yang punya telefon bimbit, tidak tahu cara hendak tutup atau senyapkan bunyi telefon bimbitnya. Sudah berbunyi dalam majlis, kelam kabut berlari keluar dan menjawab. Sudah masuk kembali berbunyi lagi.

Satu segi yang tidak boleh dinafikan, ia juga termasuk gangguan dalam solat yang mungkin digerakkan oleh syaitan kepada pemanggil agar menelefon rakannya, atau syaitan telah melupakan pemilik telefon bimbit daripada menutup bunyinya.

Kalau di masjid dan surau, elok juga para imam atau bilal menambah peringatan kepada jamaah selain merapat dan meluruskan saf, ingatkan juga agar mematikan telefon bimbit sebentar.

Satu masa dulu pihak Telekom Malaysia (TM) ada menyediakan iklan-iklan agar jamaah masjid surau menutup seketika bunyi telefon bimbit mereka bagi menghormati orang dan suasana beribadah di dalamnya.

Rasanya ia perlu dibuat dan disebar sekali lagi.

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal”.

Ingati kisah ini.

Saat Aminah binti Wahab selamat melahirkan zuriat yang dikasihi, Aminah menghantar utusan kepada Abdul Muttalib menyampaikan berita gembira itu. Abdul Muttalib gembira sekali, masuk ke Kaabah dan berdoa kepada Allah.

Orang pertama menyusukan baginda SAW selepas ibunya ialah Thuwaibah hamba kepada Abu Lahab. Abu Lahab ialah saudara kandung kepada Abdullah, ayahanda Nabi SAW. Ada riwayat menyatakan Abdul Muttalib mempunyai 10 anak lelaki dan enam anak perempuan.

Mereka ialah al-Harith, az-Zubair, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, al-Ghaidaq, al-Miqwam, Saffar, al-Abbas; sementara perempuan ialah al-Baidha’, Barrah, Atikah, Safiyyah, Arwa dan Umaimah.

Setelah perkahwinan Abdullah dan Aminah,  Abdul Muttalib mengutuskan Abdullah untuk ke Mandinah bagi mendapatkan bekalan mereka. Di sanalah Abdullah meninggal dunia ketika berumur 25 tahun. Pendapat terbanyak di kalangan ahli sejarah menyatakan kematian Abdullah dua bulan sebelum kelahiran Rasulullah SAW.

Abu Lahab melihat kelahiran anak buahnya begitu suka sekali kerana mengingatkan mereka akan ayah Muhammad iaitu Abdullah yang meninggal dunia sebelum itu. Ada riwayat mengatakan Abu Lahab memerdekakan Thuwaibah sebagai tanda gembiranya.

Tetapi…

Setelah Rasulullah SAW menyatakan dakwah Islam dan menzahirkan dirinya sebagai utusan Allah SWT, Abu Lahab adalah penentangnya yang paling utama melebihi orang lain. Kerasnya sikap dan permusuhannya sehingga namanya diabadikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Pengajarannya :

1) Mengingati kelahiran baginda SAW adalah baik tetapi tidak memadai sekadar itu sahaja, apatah lagi jika tidak mematuhi peraturan agama ini. Yang lebih utama, hendaklah digandakan lagi kasih kepada Rasulullah SAW itu dengan mengikuti nasihat dan perintah baginda, sama ada berbentuk suruhan atau larangan, wajib atau sunat, haram atau makruh.

2) Kadang-kadang penentang-penentang dakwah agama ini, bukanlah orang yang jauh daripada kita. Kedapatan yang memusuhi agama, membenci program dan majlis berbentuk keagamaan ini terdiri daripada orang yang dekat dengan kita sendiri.

3) Surah al-Masad ini sebenarnya memberi isyarat, penentang-penentang Rasulullah SAW dan risalah agama yang dibawa oleh baginda SAW ini akan menghadapi akibat yang sama seperti Abu Lahab jika mereka berpendirian menentang Islam. Sesiapa yang bersifat Abu Lahab akan termasuk di dalam kumpulannya.

%d bloggers like this: