Archive for 22 Februari 2010


DUA SISI

Saya kira mendapat satu ilmu yang bermanfaat daripada huraian Ust Hj Bungsu Aziz dalam satu pertemuan dan perbincangan berkenaan hubungan antara agama.

Ketika itu kami bercerita berkenaan surah al-Baqarah dan menyentuh persoalan ahli kitab – Yahudi dan Nasrani.

Dalam al-Quran dijelaskan kesahihan Islam dan kebatilan ajaran dan agama lain. Hanya Islam yang diterima dan diridhai oleh Allah SWT dan agama lain tidak tertolak dan mereka termasuk orang yang rugi.

Namun satu segi, walaupun aqidah mereka tertolak di sisi Allah SWT, Islam masih memberi hak kemanusiaan kepada mereka.

Lihat dalam Islam ada hak mentaati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa sekalipun ia belum memeluk Islam dan dalam masa yang sama anak sudah memeluk Islam; hak hidup berjiran; hak sebagai rakyat selama mereka tidak melakukan kekacauan dan seumpamanya, bahkan hak sebagai manusia mereka ditakrifkan sebagai kafir zimmi.

Nabi SAW ada menyebut bahawa : “Sesiapa yang menyakiti orang kafir zimmi, maka orang itu menyakiti aku..”

Bahkan dengan pemurahnya Allah SWT, semua manusia tidak mengira agama turut menerima limpahan kurnia dan rezeki pemberianNya walaupun sepanjang hayatnya dia kufur kepada Allah SWT.

Jadi harus dibezakan dengan penolakan aqidah mereka yang tidak benar, dan dalam masa yang sama kewajiban kita berbuat baik dan berdakwah kepada mereka tentang keindahan Islam.

Kuliah maghrib saya di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil menyentuh tentang sepatu dan cincin Rasulullah SAW melalui kitab Syamail Muhammadiyyah SAW.

Lega rasanya melihat sebahagian jamaah di sana memiliki buku yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu dan diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd untuk cetakan Malaysia.

Tapi entah apa puncanya, saya menyinggung spontan isu kalimah Allah. Bukan soal majalah Kristian, tapi dalam beberapa hal yang sudah berlaku sekian lama.

Baju dan pakaian anggota keselamatan seperti tentera dan polis yang terdapat kalimah Allah, sudah tentu dipakai oleh semua pegawai dan anggota mereka sama ada Islam atau tidak.

Ada di topi, kepala tali pinggang, kocek baju, di bahu dan seumpamanya. (Gambar baju anggota tentera di atas sebagai contoh).

Kalau yang beragama Islam yang prihatin dan sedar diri, mungkin mereka akan menanggalkan dahulu pakaian yang mengandung kalimah Allah.

Kalau anggota dan pegawai muslim yang cuai atau mereka yang bukan beragama Islam, mahukah mereka menanggalkannya?

Hal ini sepatutnya sudah lama difikir, dibincang dan diputuskan.

%d bloggers like this: