Archive for 20 Februari 2010


Artikel ini sudah lama ingin saya tulis, khususnya terhadap rakan-rakan yang mula dikenali dalam masyarakat. Tetapi asyik tertangguh dengan sebab pelbagai hal.

Namun apabila melihat sahabat saya Ust Md Hailmi Misbah naik sebagai khatib di Masjid Negeri 3 minggu lalu, dan Ust Md Jumat al-Belurani pula semalam, niat saya untuk menulis hal ini timbul kembali.

***

Ust Md Hailmi adalah junior saya di SMA Islam Toh Puan Hajjah Rahmah dan di Maahad Tahfiz al-Quran. Bahkan saya turut sempat mengajarnya di maahad berkenaan apabila saya menjadi pensyarah sambilan di sana.

Selepas tamat dengan diploma tahfiz JAKIM, Hailmi bertugas di Madrasah Masjid Negeri dan kemudian sebagai imam rawatib Masjid Negeri. Saya teringat lagi ketika itu, ada orang kampung yang aneh melihat Masjid Negeri diimami oleh orang-orang muda.

Antaranya Ust Hj Nahar ketika itu sebagai Imam Besar yang berumur hujung 30an, Imam Saidin yang berumur 40an, Hailmi dan saya sendiri berumur pertengahan 20an. Kehairanan itu timbul apabila ada anggapan imam solat hanya orang tua, walaupun bacaan dan kemampuan tidak seberapa.

Suasana Masjid Negeri ketika itu menutup kepercayaan berkenaan dan Masjid Negeri menjadi satu testemoni dan contoh bahawa imam tidak semestinya orang tua.

Ust Hailmi pada pandangan saya adalah contoh orang muda yang mempunyai bacaan al-Quran yang baik dan berpotensi. Baru-baru ini dalam muzakarah hakim MTQ Negeri pun beliau terlibat sama.

Cuma harapnya dia terus mengembangkan bakatnya dengan lebih kreatif, bukan hanya dengan tugas membaca doa dalam majlis rasmi sahaja. 🙂 Sebabnya saya menyedari kemampuan dan ilmunya lebih daripada itu.

***

Ust Md Jumat al-Belurani saya kenali sekitar 11 tahun lalu apabila kami mengambil peperiksaan diploma tahfiz al-Quran di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu Selangor.

Tidak salah saya beliau bersama dengan Ust Md Razali Saibin, yang kini bertugas sebagai imam di Masjid UMS.

Siswa siswi dari maahad tahfiz negeri-negeri biasanya hadir ke Darul Quran untuk mengambil peperiksaan diploma JAKIM bersama-sama dengan siswa siswi Darul Quran. Ketika itu, Ust Md Jumat dan Ust Razali adalah junior kami.

Kini, beliau bertugas di unit falak Pejabat Mufti Negeri Sabah. Sejujurnya melalui blognya saya menanti artikel berharga beliau berkenaan isu-isu falak seperti kiblat, melihat anak bulan dan seumpamanya yang hakikatnya tidak diketahui ramai.

Beliau semakin galak menyampaikan khutbah dan kuliah di masjid-masjid serta undangan ceramah pelbagai tempat, tidak ketinggalan keaktifan dan keterlibatan beliau dalam Yayasan Amal Malaysia dibawah pimpinan Tuan Hj Khairan sebagai ketuanya.

Dalam masa yang sama sedang melanjutkan pengajian luar kampus UKM di Kota Kinabalu bersama rakan-rakan lain termasuk Ust Md Hailmi.

***

Ust Hj Ibrahim Kisab, orang Kota Belud suku Irranun adalah rakan sepengajian di Maahad Tahfiz al-Quran yang beroperasi di Masjid Negeri satu masa dahulu. Siapa tahu rezeki masing-masing, ketika zaman di ma’ahad dahulu menjadi rakan bergurau, belajar dan menghafaz walaupun beliau terlambat masuk menyertai kami.

Di Mesir, saya datang dahulu. Bilik dan katil yang saya dahulu menginap di Rumah Sabah Kaherah beralih kepada Ust Ibrahim. Saya juga sempat membantu beliau untuk menghadapi saat-saat peperiksaan dengan mengadakan kelas khas atau tambahan Menjadi kebiasaan senior membantu junior untuk menghadapi peperiksaan dan memahamkan pelajaran.

Ust Ibrahim sebagaimana yang dimaklumi mempunyai kelebihan dengan kemerduan suara yang Allah SWT anugerahkan kepadanya. Ketika zaman di ma’ahad, ada beberapa orang yang selalu menjadi imam dalam solat. Antaranya Ust Ibrahim.

Kalau tidak salah saya, beliau pernah ditawarkan untuk menjadi imam di beberapa buah masjid di Semenanjung. Kini sudah lebih setahun beliau menjadi Imam Besar Masjid Negeri Sabah. Harapan semua orang terhadapnya begitu tinggi sekali.

Harapan besar, apabila orang muda memimpin sebuah masjid besar sudah tentu program dan pengisiannya lebih meriah dan kreatif. Mudah-mudahan begitulah. 

***

Sebenarnya kebangkitan orang muda di sekeliling saya begitu ramai. Insya Allah akan datang saya akan ceritakan. Ust Jumain, Ust Kalana, Ust Kahar di JHEAINS, Ust Arifin Ali di Pejabat Mufti, Ust Sahudin Ajamain dan rakan-rakan di SMA TPHR serta ramai lagi.

Tiga nama yang saya kisahkan di atas adalah kalangan sahabat sedunia kami yang bergelumang dalam dunia tahfiz.

Insya Allah dakwah Islam akan terus subur di negeri ini. Yang penting pendakwahnya bersedia untuk mengalami susah dan senang, sentiasa menuntut ilmu dan istiqamah dalam berjuang.

HADITH GAM

Lebih 10 tahun lalu, sejak zaman di maahad saya kerap mendengar hadith ini dibacakan oleh Dato’ Hj Ismail Kamus melalui kaset-kaset dalam kuliah dan ceramah beliau.

Mendengar berulang kali membuatkan saya menghafalnya. Namun saya tidak pasti tentang riwayatnya. Mungkin ada pembaca yang mahir ilmu hadith boleh mengomentari.

“Apabila Allah mengkehendaki kebaikan berlaku kepada suatu kaum, diramaikannya alim ulama dan disedikitkan orang jahil. Apabila orang alim bercakap, ramai penyokongnya. Apabila orang jahil bercakap, disuruh diam.

Apabila Allah mengkehendaki kejahatan berlaku kepada suatu kaum, diramaikannya orang jahil dan disedikitkannya  alim ulama. Apabila orang jahil bercakap, ramai penyokongnya. Apabila orang alim bercakap, disuruh diam”.

Percayalah, dakwah dan kebenaran Islam tidak akan dapat disekat. Jika satu lorong ditutup, lorong lain akan terbuka. Apabila air sungai yang mengalir disekat, ia akan melimpah ke atas, atau menyusup ke bawah.

Benarkah di tempat kita ada ustaz dan pendakwah yang ‘digam’ , disekat dan dilarang berceramah? Saya masih tertanya-tanya, sebab ada orang bertanya.

Malanglah kalau benar.

%d bloggers like this: