Archive for 16 Februari 2010


T.O.T. PERBANDINGAN AGAMA

Saya mempromosi program ini melalui blog Abu Nuha Corner, facebook dan SMS lebih kepada 40 rakan dan kenalan khususnya kepada para guru agama.

Alhamdulillah, program berjalan lancar walaupun bermula sedikit lewat akibat masalah yang tidak dijangka. Sehingga ke akhir majlis berlangsung kami menerima 61 orang peserta.

Ada yang membatalkan kehadiran saat akhir walaupun sudah memberi perakuan awal, tetapi kekurangan itu ditampung oleh peserta yang datang secara tiba-tiba.

Kami begitu berbesar hati dengan kehadiran Brother Aris dan Ust Sufian dari Lawas Sarawak, Ust Hairolnizam dan isteri dari Tambunan, Ustazah Feriza dari Sipitang, dan seluruh peserta yang pelbagai latar.

Selain guru agama yang menjadi majoritinya, juga kehadiran pelajar IPT dari UMS, Politeknik Sepanggar, IPG Kent Tuaran, beberapa orang doktor dari QEH, pensyarah UMS dan pegawai-pegawai kerajaan yang meminati ilmu perbandingan agama ini.

Suatu yang menggembirakan, lebih 80% peserta adalah golongan muda berumur bawah 40 tahun. Ini menunjukkan masa depan dakwah yang baik dan kecintaan kepada agama ini dapat dirasakan.

Ada satu point penting yang disebutkan oleh Hj Nic dalam program ini tadi. Berdakwah kepada rakan-rakan beragama Kristian dengan menggunakan pendekatan persamaan dalam Islam dan Kristian itu lebih baik, berbanding menunjukkan perbezaannya.

Dalam program yang terbatas ini, kami juga melihat potensi beberapa peserta yang boleh ditonjol sebagai penceramah kecil-kecilan pada program akan datang. Begitu juga reaksi soal jawab yang agak baik.

Respon beberapa guru juga agak menggalakkan. Mereka berhasrat mengadakan program sama di sekolah mereka kelak. Begitu juga respon beberapa pegawai kerajaan yang berminat membawa program ini ke jabatan masing-masing.

Sebagaimana yang saya sebutkan di hujung program, sudah tentu dengan hanya mempelajari ilmu ini sekitar 5-6 jam tidak memadai. Namun ini adalah permulaannya. Insya Allah, akan ada sambungannya.

Buku yang sudah dibaca :

Penulis : Abdul Latip bin Talib

Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd

Web : http://www.ptsmillennia.com.my

Harga : RM 26.90 / RM 29.90 (Sabah & Sarawak)

….. Pada tahun berikutnya, penduduk Sungai Nil tidak berani mengadakan ucapara itu. Tambahan pula tentera Islam berkawal bagi memastikan upacara itu tidak diadakan. Kebetulan pula pada tahun itu berlaku kemarau yang panjang. Air Sungai Nil mula surut. Akibatnya banyak kawasan tanah pertanian yang kering kontang.

“Wahai tuan, dewa Sungai Nil marah kerana tidak diberi makan. Kerana itu air sungai Nil kering. Kami merayu supaya tuan membenarkan kami mengadakan upacara korban itu,” kata ketua petani itu.

Namun Amru al-As tetap tidak membenarkannya. Para petani semakin marah kerana air Sungai Nil semakin kering. Mereka bimbang sekiranya tidak diadakan upacara korban, air Sungai Nil menjadi kering-kontang. Akibatnya mereka kebuluran.

Amru al-As menulis surat mengadukan masalah itu kepada Khalifah Umar al-Khattab. Tidak lama kemudian surat balasan daripada khalifah tiba. Tetapi surat itu dialamatkan kepada Sungai Nil bukan kepada Amru al-As. Surat itu berbunyi,

‘Daripada hamba Allah, khalifah umat Islam, Umar bin al-Khattab. Surat ini ditujukan kepada Sungai Nil di Mesir. Wahai Sungai Nil, sekiranya kamu mengalirkan air dengan kuasa kamu sendiri maka janganlah melimpahkan air.

Tetapi jika kamu melimpahkan air dengan izin Allah SWT Tuhan yang Maha Berkuasa, kami berdoa kepada-Nya supaya airmu melimpah sehingga lebih daripada cukup.’

Orang ramai diminta berkumpul di tepi Sungai Nil. Amru al-As membacakan surat itu di hadapan orang ramai kemudian surat itu dilemparkan ke dalam sungai. Dengan izin Allah SWT awan mendung berarak di dada langit.

Tidak lama kemudian hujan turun sepanjang hari hingga air Sungai Nil melimpah semula. Sejak itu air Sungai Nil tidak pernah kering lagi. Acara korban itu juga tidak pernah diadakan lagi.

Dapatkan novel ini di Pustaka Aslam, Plaza Kingifisher, Likas Kota Kinabalu.

%d bloggers like this: