1) Ada dua nama Allah yang saling berkait. Al-Wahhab dan ar-Razzaq. Yang Maha Pemberi Kurnia dan Yang Maha Pemberi Rezeki.

2) Ramai orang menganggap rezeki itu hanya makan minum, pakaian dan rumah. Tidak menyedari bahawa pemberian Allah SWT itu terlalu banyak dan tidak terhitung sebenarnya.

3) Kepada manusia, Allah memberi jasad dan ruh untuk hidup. Sebagaimana jasad perlukan makanan, ruh juga memerlukannya. Makanan jasad ialah seperti nasi, ikan, sayur, daging dan sebagainya. Makanan ruh ialah iman, taqwa, ibadah, taat dan seumpamanya.

4) Tidak setakat jasad dan ruh untuk  hidup, manusia juga memerlukan oksigen, udara, cahaya dan sebagainya. Bayangkanlah tanpa oksigen dan udara, manusia tidak boleh bernafas. Tanpa cahaya manusia tidak boleh melihat.

5) Dalam kehidupan ini, Allah SWT mengurniakan pasangan suami isteri akan anak-anak. Atas kehendakNya, pasangan itu mendapat anak lelaki atau perempuan yang ramai walaupun mereka miskin. KuasaNya juga, Dia tidak menganugerahkan anak kepada pasangan suami isteri walaupun mereka kaya raya.

6) Namun, manusia selalu lupa akan nikmat dan pemberianNya. Hakikatnya semua kejadian dan ciptaan Allah SWT mempunyai maksud dan tujuan. Hanya tinggal manusia mengetahuinya atau tidak.

7) Rumput yang kecil sangat berguna untuk kehidupan manusia. Tanpa rumput, tebing dan lereng bukit boleh runtuh. Rumput juga bermanfaat untuk proses oksigen dan seumpamanya.

8) Hakikatnya, Allah SWT menjadikan sesuatu sebagai suatu ujian. Manusia taat atau ingkar, syukur atau kufur, sabar atau sebaliknya. Allah menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji manusia siapakah yang terlebih baik amalannya.

9) Kalaulah untuk hidup ini manusia memerlukan pelbagai bantuan dan sokongan, sudah tentu kepada Allah SWT, manusia lebih memerlukanNya. Kerana Dialah yang menciptakan semuanya.

Tazkirah subuh, Kg Dumpiring Atas.