1- Saya mestilah memastikan ‘ibadah saya mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah.

2- Saya mestilah melakukan ‘ibadah dengan penuh khusyuk sehingga saya dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan mengerjakannya.

3- Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hiruk-pikuknya.

4- Saya mesti beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak merasa cukup dan tidak kenyang.

5- Saya mestilah mengambil berat terhadap ibadat qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan.

6- Saya mestilah meluangkan waktu tertentu untuk membaca Al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya.

7- Saya mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala ‘ibadah.

Nota dari buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ tulisan Allahyarham Dr Fathi Yakan menjadi rujukan utama dalam kuliah 2 jam setengah saya bersama puteri-puteri di daerah Tuaran pagi tadi.

Ibadah yang semestinya difahami oleh umat Islam bukan sekadar solat, puasa, zakat, haji, baca al-Quran, sedekah sahaja bahkan merangkumi seluruh kehidupan bermula bangun tidur hingga tidur semula termasuk makan dan minum, tidur dan jaga, urusan peribadi hingga pemerintahan dan urusan antarabangsa.

Pelaksanaan ibadah umum dan khusus, semua hamba Allah mesti merasakan kehadiran dan pemantauan daripadaNya agar kita berbuat dengan sesungguh-sungguhnya.

Semoga ada kebaikannya.