Archive for 13 Februari 2010


PANDAI MENGEJA

Lucu mendengar dan memerhati anak-anak mula reti menyebut huruf dan cuba mengeja walaupun main hentam saja.

Nuha sudah setahun pandai membaca, dan kini galak membaca buku cerita setaraf umurnya. Sementara Hana sudah kenal huruf setiap satu.

Abdul Hadi nampaknya tidak mahu kalah. Sebagai hero tunggal, dia juga mahu tunjuk jaguh. Suruh dia mengeja apa saja kalimat, dia pasti mengejanya.

“Hadi, eja meja!”

“N.A. na, Y.A. ya : Meeejaa..”

“N.A. na, Y.A. ya : Maaakan..”

“N.A. na, Y.A. ya : Aaatook..”

“N.A. na, Y.A. ya : Neeneekk..”

“N.A. na, Y.A. ya : Keropok…”

“Yeeeaaah.. sudah pandai ejaa..”  Ya.. tahap umur belum empat tahun, galakan mesti diberikan. Dia mesti mencuba walaupun salah. Itulah permulaannya.

Hari ini bermula cuti panjang Tahun Baru Cina.

Ada pejabat kerajaan yang bekerja setengah hari pada jumaat semalam, bahkan bagi swasta ada yang sudah bercuti mulai semalam dan berlanjutan hingga 21 Februari akan datang.

Begitu juga sekolah-sekolah berasrama, memberi peluang pelajar asrama untuk balik kampung masing-masing.

Di rumah kami sejak awal tahun 2009 lalu, dengan sedikit lebihan rezeki membantu seorang pelajar puteri sekolah dengan menghulur bantuan sekadar yang termampu.

Kami mengetahui kesusahan keluarganya di utara Sabah, kedua orang tua menanggung anak yang ramai dan dalam masa yang sama pendapatan sebagai nelayan yang biasanya tidak menentu.

Anak puteri ini balik ke rumah kami setiap hujung bulan untuk cuti hujung minggu jumaat-ahad. Dia menunggu saya di Wisma MUIS atau saya datang mengambil di asrama puteri.

Hari khamis lalu, dia menghubungi saya hendak balik ke kampungnya setelah sesi sekolah pagi jumaat kerana cuti sehingga selasa. Fahamlah saya dia perlukan tambang untuk pulang.

Saya memintanya datang ke pejabat. Dia datang dan saya memenuhi permintaannya. Sebagai janji saya kepada keluarganya sejak setahun lalu hendak membantu, saya menghulur sedikit wang tambang bas walau sendiri sangat memerlukan.

Petang jumaat (semalam), menurut sangkaan saya dia tentu dalam perjalanan pulang. Rupanya tidak. Dia menelefon saya dalam nada sedih. “Tidak jadi pulang, mama nda’ suruh,” katanya.

Akhirnya, dia ikut saya pulang ke rumah. Mukanya masam. Di kereta saya bertanya kenapa dia tidak dibenar pulang ke rumah.

“Mama bilang, kalau pulang KK nanti, tiada duit tambang”.

Saya terdiam. Saya boleh saja menghantarnya pulang ke stesen bas namun saya memahami hasrat ibunya yang mahukan anaknya tinggal saja di rumah kami.

“Kau suruh saja dia buat kerja di rumah, ustaz. Jangan biarkan dia tidur saja”. Itu antara pesan ibunya satu ketika dahulu kepada kami.

Saya fahami hasrat seorang ibu, agar anaknya mengenali hidup susah dan berdikari. Begitu juga tarbiyyah yang diserap oleh beberapa sahabat terhadap anak-anak mereka.

Walaupun mereka ada yang hidup senang, sesekali anak diajar naik bas atau keretapi walaupun mampu membiayai tiket kapal terbang.

%d bloggers like this: