Ketika tiba di Kaherah hampir 10 tahun lalu, antara orang terawal saya kenali ialah brother seorang ini. Kami serumah di Wisma Yayasan Sabah Kaherah, di syaqah 8.

Selain rakan-rakan lain yang kebanyakannya sudah dikenal lama kerana majoritinya satu sekolah, Taqiyuddin, 31 tahun awal-awal lagi menarik saya ke biliknya untuk meminta ditashihkan tilawah fatihahnya.

Sebenarnya bacaannya bagus, tetapi ada satu rahsia yang menjadi pengetahuan umum di kalangan siswa Sabahan di sana. Biarlah itu menjadi kenangan kami bersama.

Gelagatnya yang merintis permainan skatebord di bumi Arab Mesir pernah menarik perhatian seorang wartawan sukan di sana. Dia ditemuramah bersama kawan-kawan Arabnya dan masuk dalam majalah.

Selain Taqiuddin, adiknya Mohammed Salman juga mengaji di Kaherah. Kami datang pada tahun yang sama ke Mesir. Lebih merapatkan hubungan, kami sama-sama dari Labuan.

Taqiyuddin kembali ke tanahair setelah ‘bertapa’ selama hampir 10 tahun di bumi orang mendalami bidang dirasat Islamiyyah wal Arabiyyah. Kini dia bertugas di SK Kamunting Sandakan sebagai guru JQAF.

Kami bertembung di Masjid Negeri selesai solat Jumaat tadi. Ketika Taqiuddin maklumkan kepada saya bahawa majlis pernikahannya berlangsung malam ini di Petagas, saya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju walaupun ada program lain.

Majlis akad nikah rakan serumah mesti dihadiri tambahan hampir 4 tahun kami bersama di bumi para Nabi.

Seingat saya, ketika saya melangsungkan perkahwinan pada Oktober 2002, dia juga terselit di celah-celah mereka yang hadir mengucapkan tahniah.

Isteri yang baru dinikahinya tidak saya kenali.

Juga seorang ustazah, Maryumi Matlin, 28 tahun juga lepasan Universiti al-Azhar, Mansoura kuliah bahasa Arab (2006) setelah mengaji di Insaniah Kedah sebelum itu. Kini bertugas di SK Pantai Manis Papar, juga guru JQAF.

Ketika saya mencuba-cuba merakamkan foto dengan handycam – kerana kamera canon masih dalam wad – ustazah asyik melihat kamera saya berbanding kamera lain yang bersusun menggambarnya.

“Mau masuk blog Abu Nuha Corner”, katanya. Oh, dia pun ada juga. Makasih.. makasih. Cuma maaflah, kualiti gambar teruk sangat kali ni.

Taqiuddin & Maryumi, selamat pengantin baru. Semoga Allah SWT memberkati kalian berdua. Saya menanti Hj Mohammed Salman pula untuk akad nikah berikutnya.