Hati terusik, air mata berkocak mendengar khutbah Fadhilatul Ustaz Hj Muchlish dari mimbar Masjid Negeri hari ini.

Khutbah beliau berlegar tentang waqaf dan kepentingannya. Beliau menyebutkan beberapa hadith yang berkaitan dan memberikan contoh yang berlaku dalam masyarakat. Sangat relevan sekali.

Waqaf adalah salah satu pembuktian amal bahawa umat Islam adalah bersaudara dan saling bantu membantu. Tetapi kesedaran dalam masyarakat perlu ditingkatkan.

Saya tertarik dengan salah satu contoh yang dibangkitkan. Ketika ada orang meninggal dunia, ahli keluarganya contohnya menempah buku surah Yasin untuk disedekah dan diwaqafkan kepada jamaah yang hadir bertahlil.

Itu adalah baik dan tidak ditegah. Harapan ahli keluarga yang ditimpa musibah, penerima buku surah Yasin berkenaan akan membacanya dan pahala disedekahkan kepada Allahyarham.

Malangnya penerima tidak pun menggunakan buku Yasin berkenaan. Puncanya kerana dia sudah menerima berpuluh-puluh buku Yasin setiap kali berlaku kematian. Akhirnya sedekah yang diharap sebagai sedekah jariah tidak dimanfaatkan.

Selain itu, ustaz memberikan contoh tentang waqaf bangunan seperti terdapatnya sekolah agama yang masih uzur, dhaif atau menumpang bangunan orang;  rumah untuk anak yatim, ibu tunggal, saudara kita; waqaf kitab suci al-Quran, buku-buku agama dan sebagainya.

Mengkhususnya lagi contohnya, ustaz menyentuh tentang Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri Sabah yang masih menumpang di bangunan Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah sehingga kini, sedangkan madrasah berkenaan mempunyai lebih 500 pelajar.

Begitu juga ketika ziarahnya ke Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah beberapa minggu lalu, beliau menitiskan air mata melihat perpustakaan maahad yang begitu kekurangan buku rujukan, sedangkan pelajarnya yang menghafaz al-Quran adalah diharap menjadi ilmuan besar satu hari nanti.

Ketika beliau menyebut tentang maahad itulah, saya merasa sebak kerana itulah dunia saya bersama rakan-rakan seperjuangan satu ketika dahulu, dan sehingga kini bertugas di maahad masih menjadi impian saya, namun tidak diendahkan.

Insya Allah, seruan ustaz dalam khutbah itu akan bersambut.