Archive for 11 Februari 2010


Sebagaimana yang dirancang sejak sebulan lalu, kami memulakan kuliah bulanan Hadith Matan Arbaien, Hadith 40 susunan Imam an-Nawawi RH di surau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah di Jalan Bundusan mulai malam tadi.

Ini adalah pengalaman kali ketiga mengajar hadith 40. Kali pertama di UMS Labuan secara daurah sehari; sementara kali kedua di Masjid Kg Muhibbah Petagas secara mingguan.

Buat muqaddimah, saya jelaskan kedudukan hadith dalam Islam, kepentingan mempelajarinya bagi umat Islam. Tidak ketinggalan sedikit pengenalan terhadap buku ini dan penyusunnya iaitu Imam an-Nawawi RH.

Alhamdulillah, sempat juga membaca dan menghuraikan hadith pertama berkenaan dengan niat dan hijrah.

Terima  kasih atas undangan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak JK Surau yang diketuai oleh Hj Jafree Rashid dan Sdr Affendi. Dengan bermulanya kuliah di sini, saya mendapat rakan dan kenalan baru.

Bertemu lagi bulan akan datang.

Apabila dihubungi oleh rakan yang berkhidmat di Pusat Pemulihan Penagih Narkotik Papar (PUSPEN), bahawa mereka memerlukan khidmat untuk memberi kursus imam dan bilal kepada pelatihnya, saya terus bersetuju.

20 orang yang terpilih dibimbing dan dilatih menjadi imam solat dan bilalnya.

Tiga jam bercakap di hadapan menerangkan teori, kaedah, syarat dan hukum, diselang seli pula dengan soal jawab bersama mereka, saya merasa puas hati dan berbaloi.

Di kalangan mereka ada yang sangat bagus bacaannya. Bahkan ketika majlis bermula, salah seorang mereka memimpin bacaan doa dengan lancar dan fasih sekali.

Rupanya dia bekas pelajar tahfiz di Semenanjung berasal dari negeri ini. Namun sedikit kesilapannya, dia terjebak dengan menghidu gam.

Ada seorang lagi yang juga berbakat. Dia beberapa  kali mencelah dengan pertanyaan bertaraf ustaz. Penampilannya juga dengan berjubah sekerat lutut. Daripada reaksinya dalam kursus itu, saya yakini dia memang budak yang pintar dan rajin membaca.

Bagi yang lain, kemasukan ke dunia pusat pemulihan seumpama ini (dahulu dikenali dengan nama Pusat Serenti) diharap menjadi titik untuk mereka mula berubah.

Hikmahnya sangat besar, menunjukkan kasih sayang Allah SWT. Ya, kalau mereka dahulu di luar, mana mungkin mereka belajar mengaji al-Quran, bahkan sehingga berkursus menjadi imam dan bilal.

Sebelah petang mereka menjalani praktikal bersama ustaz-ustaz yang ada di sana. Terima kasih Yusrino Yusuf kerana memberi peluang saya tampil sekali lagi di sana.

%d bloggers like this: