Archive for 8 Februari 2010


ULAMA & UMARA’

Saya petik semula sebahagian teks khutbah jumaat terbitan JAKIM minggu lalu yang berkait dengan ulama-umara’. Baik menjadi renungan buat penguasa yang adil atau yang rakus; juga ulama yang mulia atau ulama pengampu.

Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam.

Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya :

“Bandingan para ulama’ di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit yang dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar maka mereka yang berpandukannya nyaris sesat”.

Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya :

“Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi”.

Menjelaskan betapa berat peranan sebagai umara’ ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asy’ari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa :

“Penguasa yang paling berbahagia ialah apabila rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah pemerintahannya.

Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan.

Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan”.

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama’ dan umara’ pada zamannya pula menyatakan bahawa :

“Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah.

Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan.

Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat”.

Cuba perhati susunan rancangan di dalam tv kita. Berapa peratus hiburan, berapa peratus pula rancangan ugama? 

Di setengah saluran tv, rancangan ugamanya hanya pembuka dan penutup sahaja, manakala di tengah-tengahnya kebanyakan rancangan berteraskan budaya nafsu.

Tanpa malu-malu, sang suami melambung-lambung isterinya di khalayak menjadi tontonan ramai. Anak-anak muda berebut dan berduyun menyertai peraduan realiti mengejar glamor.

Ada ibu bapa menangis gembira apabila si anak berjaya masuk ke dalam rancangan seumpama itu. Tiada tangisan mengalir apabila si anak langsung tidak solat dan tidak tahu membaca al-Quran.

Atas nama kebebasan dan dunia tanpa sempadan, telefon bimbit zaman ini begitu mudah mendapat SMS lucah dan porno. Si anak seusia sekolah rendah dengan mudahnya menikmati kebebasan ber’hand-phone’ tanpa batas.

Sebahagian golongan berada berada di pusat-pusat hiburan eksklusif berbintang-bintang sambil ditemani perempuan asing, atau berada di padang golf dengan pertaruhan yang tidak sedikit.

Saya pernah dimaklumkan pegawai keselamatan berpangkat, dia menjaga di luar rumah yang di dalamnya terdapat VVIP sedang berseronok dengan perempuan lain. Jadual VVIP esoknya pula merasmikan majlis tilawah.

Pemakaian wanita yang mengaku muslimah semakin melampau. Fesyen tidak cukup kain, terbelah dan transparen menjadi pilihan.

Di satu sudut, kebanyakan masjid dan surau hanya dikunjungi golongan pencen dan menanti saat akhir hidupnya. Wahai para pendakwah, kerja kita semakin banyak.

%d bloggers like this: