Archive for 5 Februari 2010


SUDAH TIADA

Dalam sakit, saya paksakan untuk bercakap dan berceramah. Tapi tetap rasa ngilu dan tidak selesa. Petang tadi, sebelahnya diselesaikan, sementara yang sebelah sudah dibuang setengah tahun yang lalu.

Dalam kebas, mengalir juga air mata. Dahsyat juga rupanya.

يتبع الميت ثلاثة فيرجع اثنان و يبقى واحد يتبعه اهله و ماله و عمله فيرجع اهله و ماله و يبقى عمله

“Yang mengiringi mayat ke kubur ada tiga, dua daripadanya akan balik ke rumah, sementara yang satu tinggal bersama. Yang mengiringi itu ialah keluarganya, hartanya dan amalannya. Ahli keluarga dan hartanya balik ke rumah, amalannya tinggal bersama”.

Sesetia seorang isteri atau suami, tiada yang sanggup menemani hingga ke dalam kubur. Menangislah ia, merintihlah ia, menyesallah ia, di sisi kubur hanya seketika. Kemudian balik ke rumah.

Harta yang banyak, dicari, dikumpul, disimpan, akhirnya ditinggal begitu sahaja.

Rupanya ramai manusia sibuk mencari sesuatu yang bakal tinggal, tidak sibuk mengumpul sesuatu yang bakal dibawa, iaitu amalannya.

Amalan yang benar berasaskan aqidah yang benar kerana itulah soalan pertama yang akan ditanya. Siapa tuhanmu? Siapa nabimu? Apa ikutanmu? Mana qiblatmu? Siapa saudaramu?

Kemudian solat sebagai tiangnya : “Solat itu tiang agama. Sesiapa yang menegakkannya, maka dia menegakkan agamanya. Sesiapa meninggalkannya, dia telah meruntuhkan agamanya”.

“Perkara pertama yang dihitung keatas seorang hamba di hadapan Allah pada hari qiamat ialah berkenaan solatnya. Kalau solatnya baik, baiklah seluruh amalannya. Kalau buruk, buruklah seluruh amalannya”.

Empat soalan yang ditanya oleh Allah SWT di dataran mahsyar :

“Tidak berganjak kedua tapak seorang hamba pada hari kiamat, sehingga ia ditanya berkenaan empat perkara : Tentang UMURNYA, ke mana dihabiskan? Tentang ILMUNYA, di mana disalurkan? Tentang HARTANYA, dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan? Tentang TUBUH BADANNYA, untuk apa digunakan?

Catatan tazkirah jumaat,

Bilik Mesyuarat Bangunan JKR Sembulan.

%d bloggers like this: