Setelah kuliah tasawuf bimbingan Ust Hj Mohd Mursal dan kuliah fikah bimbingan Ust Hj Muchlish Ali Kasim berjalan sekitar 10 bulan, kali ini Syukbah Dakwah Masjid Negeri dengan kerjasama Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah membuka satu lagi kelas iaitu kuliah aqidah.

Alhamdulillah, dalam kuliah pembukaan malam tadi, lebih 40 pencinta ilmu hadir. Apa yang menggembirakan, terdapat beberapa kalangan mereka yang merupakan orang baru yang tidak pernah menyertai kuliah tasawuf dan fikah.

Kuliah Tasawuf berlangsung pada setiap isnin malam selasa, sementara kuliah fikah pada setiap selasa malam rabu, kedua-duanya bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir sejam kemudian.

Pada malam tadi, al-Fadhil Ust Hj Muchlish yang diberi kepercayaan membimbing kelas ini memulakan pengajian dengan menceritakan asal usul ilmu aqidah seperti yang terdapat dalam muqaddimah buku rujukan kuliah ini iaitu Pedoman Tauhid susunan Ust Osman Jantan.

Aqidah yang sahih dan betul merupakan syarat penting seseorang untuk diterima amalnya. Semua maklum akan hadith yang menyatakan perpecahan umat Islam kepada 73 golongan dan hanya satu sahaja masuk syurga.

Bayangkanlah, dalam perjalanan menuju destinasi syurga, di hadapan kita terdapat 73 simpang dan cabang. Maka ilmu pengetahuan sangat berguna untuk kita menuju arah yang tepat dan benar.

Marilah kita mengambil sedikit ruang untuk mempelajari atau sekurang-kurangnya membuat ulangkaji berkenaan aqidah kita. Bukankah soalan kubur itu bermula dengan perkara aqidah?