Sejak awal januari lalu, setiap khamis ketika waktu rehat saya datang ke bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KUWASA) di Karamunsing untuk memulakan kelas pengajian al-Quran di tingkat 8 blok B.

Alhamdulillah, sambutan sangat memberansangkan. Selain 2 orang yang sememangnya sudah mengaji al-Quran dengan saya sejak 4 tahun lalu (di Masjid Negeri), kini sudah ada pertambahan kepada 13 orang kesemuanya.

Sebelum ini, masa-masa rehat tengahari saya mengadakan kelas berkenaan di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) di Wisma MUIS setiap isnin-khamis.

Namun memandangkan kehadiran semakin merosot, saya kurangkan kepada 3 hari sahaja di sana. Di SPAN, kami bermula dengan belasan orang, kemudian beberapa orang menarik diri setelah mengaji beberapa juzu’, dan setelah setahun empat orang sudah khatam.

Kini hanya tinggal dua orang di SPAN yang aktif dan mereka sudah melepasi separuh al-Quran. Saya menjangkakan, dalam tempoh beberapa bulan terdekat ini mereka boleh khatam dan saya akan memberi tumpuan di KUWASA pula.

Sesuatu yang sukar apabila mengadakan kelas al-Quran ialah istiqamah di kalangan pesertanya. Saya berharap prestasi mereka di KUWASA adalah lebih baik dan berkekalan sehingga ke hujungnya.

Kelas al-Quran / Iqra di KUWASA setiap khamis 1-2 petang dan sabtu 11-2 petang. Semoga kami diberi kekuatan.