Archive for 3 Februari 2010


S/U AKHBAR BARU

Akhbar dalam talian harakahdaily.net memaparkan pengumuman perlantikan Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Ustaz Ahmad Fadhli Shaari sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan yang baru menggantikan Ustaz Saiba Yaakub.

Ust Ahmad Fadhli adalah antara rakan baik ketika bersama-sama mengambil peperiksaan diploma tahfiz al-Quran JAKIM pada 1999 dan konvokesyen pada tahun 2000. Beliau terdahulu adalah pelajar Maahad Tahfiz Pulai Condong Kelantan.

Kepada beliau yang akan memulakan tugas minggu hadapan, selamat bertugas dan semoga diberi kekuatan oleh Allah SWT.

Petikan harakahdaily pada hari ini :

Nik Aziz pilih pensyarah Kias sebagai SU Akhbar baru

M Faqih

KOTA BHARU, 3 Feb: Tahun 2010 menyaksikan perubahan agak besar di pejabat Menteri Besar Kelantan apabila dua pegawai kanan baru dilantik membantu tugas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada awal Januari lalu bekas Pengarah Pusat Kajian Strategik, Wan Nik Wan Yussof dilantik sebagai Setiausaha Politik menggantikan Anual Bakri Harun.

Manakala awal bulan ini bekas pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ahmad Fadhli Shaari, 30 pula menggantikan Mohd Saiba Yaakub sebagai setiausaha akhbar. Beliau sebelum ini tidak pernah bertugas dengan mana-mana media atau akhbar.

Sebelum ini isu pertukaran pegawai terbabit mendapat liputan meluas media ekoran tercetus isu membabitkan menantu Menteri Besar, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Mohd Saiba hari ini mulai bertugas sebagai pensyarah di Kias.

Katanya, beliau kembali kepada tugas asalnya sebagai pensyarah sebelum berkhidmat di pejabat Menteri Besar pada 2002.

Sebelum itu pernah bertugas sebagai pembantu pensyarah di Universiti Malaya selama empat tahun sehingga 2000, kemudian mengajar di Kolej Darul Quran di Terengganu akhir 2000 hingga Januari 2002.

Beliau dilantik Setiausaha Akhbar Menteri Besar pada 3 Febuari 2002 dan berakhir semalam.

Beliau merupakan Setiausaha Akhbar yang keempat dan paling lama berkhidmat iaitu selama lapan tahun.

Fadhli yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan berasal dari Tendong, Pasir Mas merupakan pelajar Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong.

Mendapat diploma Tahfiz Al Quran Jakim pada 2000. Kemudian menyambung pelajaran ke Kias dalam bidang dakwah.

Muncul sebagai pelajar terbaik Kias pada 2003. Beliau mendapat biasiswa Yayasan Kelantan Darulnaim bagi melanjut pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang dakwah pada 2003.

Mulai bertugas sebagai pensyarah di Kias pada November 2004. Sekarang sedang menyiapkan tesis sarjana dalam bidang dakwah dan kepimpinan di UKM.

Isterinya, Nuryani Mohd Salleh juga seorang pendidik. Mereka kini mempunyai dua cahaya mata.

Fadhli akan memulakan tugas barunya di pejabat Menteri Besar pada Ahad ini.

Ketika dihubungi katanya beliau akan berusaha sebaik mungkin membantu Menteri Besar bagi membina hubungan lebih mesra dengan petugas-petugas media.

“Biar pun tidak mempunyai pengalaman dalam tugas baru, namun saya akan berusaha mendapat tunjuk ajar daripada Setiausaha Akhbar sebelum ini dan rakan-rakan media,” katanya.

Sambil memandu di lebuh raya melepasi bulatan Austral menuju ke pejabat, kereta bergerak perlahan akibat kesesakan yang biasa berlaku setiap pagi.

Di tepi sebelah kiri, kelihatan seorang ibu memegang erat tangan anaknya yang berusia sekitar 5-6 tahun hendak melintas ke seberang jalan. Gayanya seperti hendak menghantar anak ke sekolah tadika.

Ibu dan anak itu hendak melintas di hadapan kami.

Sebaik mereka berdua berada di garisan tengah, meluncur laju sebuah motor hampir mengena dua beranak tersebut. Saya kira pembonceng motor berkenaan sempat menekan brek dan mengelak daripada melanggar.

Tayar belakangnya menjongkat naik, dan dia terjatuh ke kanan terkena badan toyata fortuner yang berada di hadapan kami.

Keadaan itu mengejutkan ketenangan pagi bagi mereka yang menyaksikannya. Saya segera keluar dari kereta, bukan untuk melihat pembonceng motor berkenaan tetapi bimbang si anak kecil tadi terlanggar dan tercedera.

Mujur tiada apa-apa berlaku, hanya toyota fortuner itu yang nampaknya sedikit tercalar. Kepada pejalan kaki, hati-hati melintas jalan dan jangan berhenti di garisan tengah.

Kepada pemandu kenderaan, pandu cermat jiwa selamat.

%d bloggers like this: