Alhamdulillah, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Fathonah memulakan operasinya di Taman Pasir Putih Putatan mulai semalam.

PASTI ini pada mulanya beroperasi di Taman Union pada awal tahun 2007 hasil usaha awal dua orang guru PASTI ketika itu, Cikgu Auni Munawwarah dan Fatimah az-Zahra sebelum diteruskan oleh sahabat-sahabat lain.

Akhir tahun lalu, hasil perbincangan rakan-rakan, pusat operasinya terpaksa dipindahkan sementara ke Plaza Platinum Putatan setelah rumah asal yang disewa PASTI dijual oleh tuan rumah kepada orang lain.

Beberapa rakan-rakan berikhtiar ke sana dan ke mari untuk mencari lokasi lebih sesuai dan mesra penduduk. Dua minggu mencari, beberapa pilihan yang ada, akhirnya lokasi di Taman Pasir Putih Putatan menjadi pilihan terbaik.

Rumah bernombor 117, berhadapan dengan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Persekutuan bersedia meneruskan operasinya dan terus membuka peluang kepada ibu bapa yang hendak menghantar anak seawal 4 hingga 6 tahun.

Sehingga hari ini, terdapat 21 orang murid dan dijangka terus bertambah dalam masa terdekat. Hubungi 016-8301432 (Cikgu Yusni) atau 014-5564386 (Cikgu Aisyah) untuk keterangan lanjut.

Kepada Allah kami memohon restu dan inayah.