Archive for 2 Februari 2010


TALAK TA’LIK

1. Talak sah dilakukan secara talak tanjiz (dilaksanakan terus). Ia juga sah dilakukan secara ta’lik (tergantung).

2. Maksud talak ta’lik (talak tergantung) ialah suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat* atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya atau orang lain.

(* Kalimah sifat di sini hendaklah difahami dengan makna yang dikehendaki oleh tajuk sifat dan mausuf dalam tatabahasa Arab)

Contoh; suami mengaitkan talak dengan pulangnya orang yang hilang atau mengaitkannya dengan tindakan tertentu yang dilakukan oleh isterinya atau orang lain.

3. Contoh talak ta’lik yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata : “Aku ceraikan kamu ketika kedatangan ayah kamu” atau “aku ceraikan kamu pada bulan Ramadhan”. Oleh itu isteri akan jatuh talaknya apabila ayahnya datang atau apabila masuknya bulan Ramadhan.

4. Contoh talak ta’lik yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata : “Aku ceraikan kamu jika kamu keluar dari rumah ini” atau “aku ceraikan kamu jika saudaramu masuk ke rumah ini”. Talak akan jatuh jika isteri keluar dari rumah itu atau apabila saudaranya masuk ke dalam rumah itu.

5. Dalil sah talak ta’lik yang dikaitkan dengan sifat atau syarat, dan jatuhnya talak jika syarat atau sifat itu benar-benar berlaku ialah Sabda Nabi SAW¬† yang bermaksud :

“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka”

6. Difahami daripada hadith di atas, syarat-syarat yang dikaitkan dengan berlakunya sesuatu perkara adalah diambil kira oleh syarak selagi ia tidak mengharamkan perkara halal atau menghalalkan perkara haram.

(al-Fiqhul Manhaji – Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 4, Menghuraikan Bab Undang-Undang Kekeluargaan; Dr Mustofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji; terjemahan Ust Azizi Ismail & Ust Mohd Asri Hashim; Pustaka Salam 2002)

Alhamdulillah, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Fathonah memulakan operasinya di Taman Pasir Putih Putatan mulai semalam.

PASTI ini pada mulanya beroperasi di Taman Union pada awal tahun 2007 hasil usaha awal dua orang guru PASTI ketika itu, Cikgu Auni Munawwarah dan Fatimah az-Zahra sebelum diteruskan oleh sahabat-sahabat lain.

Akhir tahun lalu, hasil perbincangan rakan-rakan, pusat operasinya terpaksa dipindahkan sementara ke Plaza Platinum Putatan setelah rumah asal yang disewa PASTI dijual oleh tuan rumah kepada orang lain.

Beberapa rakan-rakan berikhtiar ke sana dan ke mari untuk mencari lokasi lebih sesuai dan mesra penduduk. Dua minggu mencari, beberapa pilihan yang ada, akhirnya lokasi di Taman Pasir Putih Putatan menjadi pilihan terbaik.

Rumah bernombor 117, berhadapan dengan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Persekutuan bersedia meneruskan operasinya dan terus membuka peluang kepada ibu bapa yang hendak menghantar anak seawal 4 hingga 6 tahun.

Sehingga hari ini, terdapat 21 orang murid dan dijangka terus bertambah dalam masa terdekat. Hubungi 016-8301432 (Cikgu Yusni) atau 014-5564386 (Cikgu Aisyah) untuk keterangan lanjut.

Kepada Allah kami memohon restu dan inayah.

%d bloggers like this: