Archive for Januari, 2010


BONGKAR

Setiba di rumah dari Restoran Tiara Grace Square setelah mengaji Kuliah Fekah di Masjid Negeri malam ini, saya dikejutkan dengan khabar yang diberitahu orang rumah.

Personaku dibongkar pencuri.

Sebenarnya silap sendiri. Pulang ke rumah dari pejabat sebelah petang dengan persona, saya bersalin pakaian dan keluar semula dengan kelisa untuk kuliah maghrib di Masjid Kg Muhibbah. Persona ditinggal tanpa dikunci!

Selesai isyak di sana, terus pula ke Masjid Negeri sehingga jam 9.30 malam. Sesudah itu menjadi kebiasaan untuk makan malam di Grace Square, Sembulan. Biasanya balik sekitar sejam kemudian.

Kebetulan pada masa yang sama keluarga di rumah menghadiri kenduri kesyukuran di Kinarut. Mereka pulang, sesuatu sudah berlaku.

Pintu persona dilihat tidak bertutup rapat, segala laci terbongkar dan bertaburan. Kejadian itu berlaku pada awal malam iaitu antara 8-10 malam.

Pada mulanya hajat saya hendak melapor kepada balai polis berhampiran, tetapi apabila disemak tiada apa yang hilang saya batalkan hasrat itu.

Alhamdulillah! Apa yang dicari? Dalam tu hanya ada VCD ceramah dan kuliah.

MAU LAGI

Semalam saya berkuliah di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil, sementara tadi kuliah maghrib di Masjid Kg Muhibbah.

Di Masjid as-Sobirin semalam, kami menyambung bacaan Kitab Syamail Nabi Muhammad SAW sementara di Masjid Kg Muhibbah menyambung bacaan buku Indahnya Hidup Bersyariat, kedua-duanya buat minggu ke-3.

Di kedua-dua masjid saya bertanya kepada beberapa jamaah di sana selesai solat berkenaan respon ceramah agama yang diadakan pada 17 Januari lalu oleh Ust Azman Syafawi di Masjid as-Sobirin dan Ir. Mohd Khairil Nizam di Masjid Kg Muhibbah.

Alhamdulillah, saya mendapat respon yang sangat baik daripada mereka.

Di Masjid as-Sobirin, ceramah tentang hijrah berlanjutan daripada jam 7 sehingga jam 8.30 malam termasuk soal jawab yang mendapat sambutan hangat. Cerita salah seorang mereka, penceramah sangat memahami soalan yang diutarakan sehingga menarik perhatian mereka.

Dengan gaya ceramah yang bersemangat, ada jamaah menyebut agar orang itu dipanggil lagi.

Di Masjid Kg Muhibbah, walaupun Ir. bukan seorang ustaz, tetapi gaya penyampaiannya tetap menarik. Dikaitkan dengan isu-isu semasa dan berbentuk kemasyarakatan, jamaah berpandangan agar penceramah luar diundang sebaiknya secara bulanan.

Insya Allah saya akan membantu.

INGAT MENGINGATI

1. Sabda Nabi SAW : “Kebijaksanaan adalah barang tercicir milik orang beriman, di mana sahaja ia ditemui maka orang beriman lebih layak dengannya”.

2. Firman  Allah : “Nun. Demi qalam dan apa yang mereka tulis”.

3. Sabda Nabi SAW : “Agama Islam itu nasihat. Kami bertanya : Bagi siapa? Sabda Nabi : Bagi Allah, RasulNya, kitabNya, pemimpin orang Islam dan rakyatnya”.

4. Firman Allah : “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu suruh orang berbuat baik, meninggalkan kemungkaran dan kamu sendiri beriman kepada Allah..”

5. Sabda Nabi SAW : “Sesiapa di kalangan kamu yang melihat satu kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya; jika tidak mampu dengan lidahnya; jika tidak mampu dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman”.

6. Firman Allah : “Pada hari ini, Kami kunci mulut mereka, tangannya bercakap dengan Kami sementara kakinya menjadi saksi atas apa yang mereka lakukan”.

7. Firman Allah : “Wahai orang beriman, jika datang seorang fasik membawa khabar berita kepada kamu, maka hendaklah kamu selidiki supaya kamu tidak menimpakan satu kaum dengan sebab kejahilan kamu, nanti kamu menyesal atas tingkah laku kamu”.

Demikian nas yang saya bentangkan di hadapan sahabat-sahabat blogger dalam pertemuan singkat ahad lalu. Jadilah blogger yang menyampaikan kebenaran dan bertanggungjawab atas semua tulisannya. 

Satu

Alkisah di sebuah masjid satu kejadian beberapa tahun lampau. JK Masjid mengatur program demi program untuk pengimarahan masjid. Penduduk setempat digesa untuk hadir solat berjamaah.

Hanya satu kurang di masjid itu. Tiada apa-apa pengajian tetap.

Suatu jumaat, khatib naik mimbar. Sesekali lancar, sekejap menyangkut gagap. Itu lumrah khatib di kampung-kampung. Apabila menyambung khutbah kedua, pak khatib langsung berbicara dalam bahasa Melayu, meninggalkan rukun yang semestinya.

Di kalangan jamaah, tiada yang terkejut atau menunjukkan reaksi. Sama saja.

Dua

Seorang anak yang agak dewasa menangisi pemergian ibunya. Penduduk kampung datang menziarahi janazah. Ketika itu si anak sedang membacakan yasin sambil didengari oleh orang ramai.

Si anak tergagap-gagap membaca dan menamatkan yasinnya dalam keadaan sukar sekali. Bukan kerana sedih, tetapi kerana dia tidak tahu membaca al-Quran.

Tiga

Dalam kes solat gerhana matahari, seorang yang dipanggil ustaz di kawasannya telah ‘mengharamkan’ solat gerhana matahari dilakukan selepas solat asar kerana waktu itu adalah waktu haram solat.

Sudah ustaz yang lain mendiamkan diri, akhirnya masjid berkenaan yang sememangnya ramai jamaah tetapnya, tidak mengadakan solat sunat gerhana matahari tempohari.

Moralnya : Jomlah kita pergi belajar menambahkan ilmu pengetahuan. Antaranya, kuliah fikah Mazhab Syafie di Masjid Negeri Sabah, selasa malam rabu 8.30-9.30 malam.

CITA-CITA

Satu hari saya bersembang dengan anak-anak. Sambil makan-makan, saya tanya cita-cita mereka. Saja hendak mengetahui imaginasi mereka. Nuha masuk 7 tahun, Hana  masuk 5 tahun dan Hadi masuk 4 tahun.

“Kakak Nuha sudah besar mau jadi apa?”

“Mau jadi ustazah, macam Ummi”.

“Hana?

“Hana mau jadi cikgu..”

“Hadi?”

“Hadi mau jadi otromen!”

Kami ketawa. Tapi bila fikir-fikir balik, ya pulak. Otromen kan suka tolong orang dan kalahkan orang jahat.

Ada satu kajian berkenaan tabiat sesudah pencen.

Khabarnya seorang profesor daripada sebuah universiti tempatan membuat kajian ini beberapa tahun lalu dengan melakukan pemerhatian selama berbulan-bulan terhadap orang-orang pencen.

Antara penemuan dalam kajian itu ialah 90% daripada mereka yang ditemui menyatakan penyesalan hidup terhadap masa lampau yang telah mereka lalui.

Ia mungkin berbentuk kelalaian, kealpaan, kesilapan, kekurangan, dan seumpamanya. Ketika inilah timbul penyesalan; kenapalah dulu aku buat begitu, kenapalah dulu aku tak buat begini.

Ia mungkin juga membabitkan soal ilmu, ibadah, harta, anak-anak, kerjaya, peraturan hidup dan sebagainya.

Contoh teladan dan sempadannya terlalu banyak. Ia ada di sekeliling hidup kita. Walaupun lambat, tidaklah langsung tidak berguna. Mujurlah penyesalan itu hadir ketika hayat masih dikandung badan.

Tetapi alangkah baiknya kalau kesedaran itu datang lebih awal. Allah SWT menceritakan kisah-kisah penyesalan di dalam al-Quran :

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”. (al-Munafiqun : 10)

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu) : “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (as-Sajadah : 12)

AQIDAH DAN AKHLAK

Ada 3 perkara yang saya sebut dalam kuliah siang tadi bersama pelajar saudara kita di Kelas Bimbingan Teratak Fitrah, Sembulan dalam tempoh 40 minit :

1) Maha Mengetahuinya Allah SWT akan segala perbuatan makhluk, baik atau jahat dalam gelap dan terang, sendirian atau ramai, zahir atau batin;

2) Malaikat Raqib Atid yang berada di kanan dan kiri manusia, mencatat segala perbuatan manusia tanpa satu pun yang tinggal;

3) Hari Pembalasan, saat ketika semua amalan manusia ditayang dan dinilai; mulut dikunci, tangan bercakap, kaki serta seluruh anggota menjadi saksi; buku catatan amal sebagai bukti.

Justeru, banyak melakukan kebaikan di mana sahaja berada kerana Allah SWT Maha Mengetahui dan meninggalkan kejahatan kerana Allah SWT jua Maha Mengetahui. Aqidah yang mantap akan melahirkan akhlak yang mulia.

Semalam saya menyampaikan khutbah di Masjid Kg Muhibbah Petagas. Ada insiden ‘nakal’ dan menampakkan kejahilan diri. Khutbah itu saya mulakan berkenaan peristiwa penting yang berlaku sejak akhir-akhir ini terjadi pada hari jumaat.

Raya Haji tahun lalu pada hari jumaat; tahun baru 1431 hijrah pada hari jumaat; cuti krismas pada hari jumaat; tahun baru 2010 pada hari jumaat; gerhana bulan pada hari jumaat; gerhana matahari minggu lalu pada hari jumaat. Insya Allah, sambutan maulidur Rasul tahun ini juga jatuh pada hari jumaat. Saya mengingatkan jamaah bahawa hari kiamat juga berlaku pada hari jumaat.

Ada seorang jamaah yang berada di saf hadapan menyampuk khutbah saya ketika saya menyebut gerhana bulan pada 1 januari lalu berlaku pada hari jumaat. Ketika saya menyebut gerhana bulan itu, dia menyampuk : “..matahari!”

Kononnya dia hendak membetulkan saya bahawa saya tersilap. Ada dua hal, pertama mungkin dia tidak sedar bahawa 1 januari lalu ada gerhana bulan berlaku pada jam 3 pagi. Keduanya, dia menyampuk ketika saya sedang berkhutbah.  Itulah tandanya kita perlu belajar.

Pengajian Hadith kami di Masjid Nurul Ihsan di Kg Lok Kawi baru masih berjalan menggunakan Kitab al-Azkar susunan Imam an-Nawawi RH.

Namun begitu, kami memasuki satu bab yang pendek tetapi memerlukan huraian yang panjang. Bab Asmaul Husna dalam kitab al-Azkar hanya memaparkan sepotong ayat al-Quran dan sebuah hadith Rasulullah SAW.

Saya mencari-cari buku yang sesuai untuk menghuraikan nama-nama Allah yang indah. Buku yang sederhana, tidak terlalu ringkas sehingga tidak dapat difahami, atau terlalu panjang berjela sehingga membosankan pembaca.

Buku yang digambarkan di atas ini asalnya adalah himpunan kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudiannya ditulis semula oleh peminatnya. Saya teliti secara rambang, ia sangat sesuai untuk dikuliahkan dalam kuliah malam minggu kami.

Buku ini berharga RM20.00 bagi harga Sabah Sarawak dan diterbitkan oleh Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Apabila selesai menghuraikan nama-nama Allah secara mudah ini, kami akan kembali ke kitab al-Azkar dengan tajuk baru : Tilawah al-Quran.

Semoga ada kebaikannya.

Malam esok 23hb ada program maksiat. Pertandingan akhir ‘The 2nd Sabah Supermodel & Man Hunk’ peringkat negeri di Star City anjuran sebuah syarikat judi terkenal – Diriwan.

Daripada semakan saya di web mereka – http://sabahsupermodel.com, terdapat 16 peserta akhir lelaki dan 16 peserta wanita.

Di kalangan mereka ada yang bernama Wan Mustafa (27 tahun) dari Kota Kinabalu, Mohd. Shah Rezza bin Adrianshah (24 tahun) dari Tawau dan Alia Afiqah bte Abden (17 tahun) juga dari Tawau.

Tapi cuba tengok ayat di bawah logo rasmi itu.

In aid of society for Sabah Heart Fund, Old Folks Home Tawau dan Rumah Anak Yatim Tawau (al-Raudhoh).

Inilah zaman fitnah namanya.

Gambar-gambar diambil dari web sabahsupermodel.com. Gambar-gambar lain ada dalam web berkenaan.

Gambar pertama adalah ketika pemilihan di Tawau, sementara yang kedua adalah pemilihan di Kota Kinabalu.

%d bloggers like this: