Selesai solat isyak malam tadi, kami menziarahi mantan timbalan mufti Datuk Hj Ahmad Othman di rumahnya di Kg Likas. Banyak cerita yang kami dengar akhir-akhir ini berkenaan beliau.

Pertemuan diketuai oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ust Hj Nahar, Ust Arbaen dan saya sendiri. Beberapa sahabat yang dihubungi tidak dapat hadir atas komitmen lain, tambahan program ziarah ini hanya diatur pada lewat petang.

Memang dalam keuzurannya, sesekali beliau masih ke masjid khususnya Masjid Jamek Kg Likas dengan bantuan anak-anaknya. Dalam usia hampir 82 tahun, pergerakannya memang terbatas.

Kami mulanya menanti di ruang tamu, kemudiannya dipersilakan masuk ke bilik tempat istirehatnya.

Menurut isteri beliau yang biasa dipanggil Ummi, Datuk sudah beberapa hari tidak tidur. Kami melihat wajah dan matanya begitu keletihan, tetapi dia rancak bersembang, bercerita zaman lampau.

Bahkan sesuatu yang mengejutkan kata Ummi, Datuk mengingati lagu dodoian ibunya ketika dia berusia 2-3 tahun. Di hadapan kami, dia menyebutkan bait-bait seloka yang menarik.

Kata Ummi, sepanjang hidup bersama dia tidak pernah bercerita hal itu, tetapi 2-3 hari kebelakangan dia menyebutkannya.

Tatkala menyebut hal Allahyarham ibunya, Datuk beberapa kali mengalirkan air mata. Dia teringatkan dodoian dan nasihat ibunya.

Dalam sembang itu, beliau sempat berkuliah di hadapan kami, menghuraikan beberapa ayat al-Quran, menafsirkannya dengan tegas sebagaimana keperibadian beliau yang dikenal orang.

Datuk mahu berkuliah di masjid pada khamis akan datang, dan meminta kawan-kawan sepengajian Ust Nahar hadir dan menyoalnya.

Beliau juga menyebut beberapa perkara perihal politik semasa tanahair. UMNO, PAS, PKR.

Kami dijemput keluar semula oleh Ummi untuk ke ruang tamu minum syai. Katanya, Datuk ingin sangat makan ikan keli dan daging kambing. Saya memberi nombor telefon seseorang untuk dihubungi dan membekalkan ikan keli kepadanya.

Datuk dipapah keluar dan duduk di atas kerusi roda sebelum cerita kami bersambung di ruang tamu.

Kepada saya yang dikenalinya sebagai imam, beliau bertanya tempat saya bertugas kini. Pada tahun 2000 saya pernah bertugas di Masjid Bandaraya beberapa bulan sebelum berangkat ke Mesir.

Datuk menawarkan saya kembali ke Masjid Bandaraya : “Mau jadi imam bandaraya? Saya boleh cakapkan”, katanya. Saya tersengih saja. Dengan berat hati saya menolak.

Dalam Datuk rancak bercerita, kami menyedari beliau sebenarnya amat keletihan. Kami mohon izin pulang sekitar jam 9.50 malam bagi memberi laluan beliau berehat walaupun nampaknya cerita belum habis.

Kesimpulan yang kami perolehi hasil pertemuan itu, beliau sebenarnya kesunyian.

Beliau ingin benar diziarahi, menunggu teman bercerita. Disebutnya nama-nama ustaz lain. Ust Mansur (Mansuruddin Batubara), Iyen Atim, Jalidar Abd Rahim dan lain-lain. Ust Muchlish katakan, insya Allah semuanya ingat kepadanya.

Ustaz-ustaz lain, pergilah ziarah.