Semalam saya menyampaikan khutbah di Masjid Kg Muhibbah Petagas. Ada insiden ‘nakal’ dan menampakkan kejahilan diri. Khutbah itu saya mulakan berkenaan peristiwa penting yang berlaku sejak akhir-akhir ini terjadi pada hari jumaat.

Raya Haji tahun lalu pada hari jumaat; tahun baru 1431 hijrah pada hari jumaat; cuti krismas pada hari jumaat; tahun baru 2010 pada hari jumaat; gerhana bulan pada hari jumaat; gerhana matahari minggu lalu pada hari jumaat. Insya Allah, sambutan maulidur Rasul tahun ini juga jatuh pada hari jumaat. Saya mengingatkan jamaah bahawa hari kiamat juga berlaku pada hari jumaat.

Ada seorang jamaah yang berada di saf hadapan menyampuk khutbah saya ketika saya menyebut gerhana bulan pada 1 januari lalu berlaku pada hari jumaat. Ketika saya menyebut gerhana bulan itu, dia menyampuk : “..matahari!”

Kononnya dia hendak membetulkan saya bahawa saya tersilap. Ada dua hal, pertama mungkin dia tidak sedar bahawa 1 januari lalu ada gerhana bulan berlaku pada jam 3 pagi. Keduanya, dia menyampuk ketika saya sedang berkhutbah.  Itulah tandanya kita perlu belajar.