Alhamdulillah, Kuliah Fekah Mazhab Syafie yang diadakan di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah pada setiap selasa malam rabu, semakin ramai peminatnya.

Saya ada bertanya kepada beberapa rakan yang hadir, masing-masing mempromosi kelas ini kepada kenalan masing-masing melalui SMS dan cerita mulut ke mulut.

Saya ada mengikhtiarkan iklan A4 untuk ditampal di masjid dan surau sekitar Kota Kinabalu dan Putatan. Sebahagian kecil sudah diedar dan bakinya akan ditampal pada hujung minggu ini. Saya berusaha mencari masa lapang kerana kesibukan tugas.

Saya bersyukur ada seorang rakan peguam yang tinggal di Taman Indah Permai diberi hidayah hadir dalam kuliah ini dengan asbab membaca iklan dalam blog Abu Nuha Corner ini.

Ada lagi usaha yang boleh digerakkan sebenarnya untuk menyebarluaskan kuliah ini. Masih ramai orang di sekeliling kita lemah pengetahuan mereka dalam soal ibadah seharian.

Siapa-siapa berkesempatan, hubungi radio IKIM untuk sampaikan maklumat ini, juga kepada Sabah FM, sebaran antara Facebook ke Facebook masing-masing, iklan di pejabat-pejabat dan bangunan-bangunan tempat bertugas, emel grup, blog dan sebagainya.

Saya dan rakan-rakan punya hasrat satu masa nanti agar bilik kuliah itu dilimpahi peminat ilmu, sehingga kita boleh alihkan ke dewan solat utama satu hari nanti dengan kehadiran mencecah ribuan orang. Minat kepada ilmu mesti dipupuk dan dimulakan di masjid ini.

Ia pasti bermula dengan langkah pertama, iaitu bermula dengan diri sendiri.

“Allahumma Ya Allah, bantulah kami menegakkan ajaran agamaMu”