Satu

Peristiwa dihambat dengan rotan pada awal tahun 1986 masih diingat.

Pagi-pagi saya bersekolah kebangsaan yang terletak hanya sebelah rumah. Dengan takdir Allah SWT juga mulai tahun itu diwujudkan sekolah agama pada waktu petang, menumpang bangunan sekolah kebangsaan.

Hairan juga mengingatkan, ke sekolah kebangsaan saya suka dan semangat sekali. Namun kembali pada waktu petang untuk sekolah agama saya begitu takut. Payah dipujuk dan diugut.

Sekali itu saya bersembunyi di balik pintu dapur kerana tidak mahu ke sekolah agama. Saya dirotan dan dibawa ke sekolah menangis-nangis.

Dua

Akhir 1991, saya diterima masuk belajar di Sekolah Menengah Ugama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Tinggal jauh daripada kedua orang tua, itu pengalaman baru dan mendebarkan. 

Pada awal tahun itu ketika dalam darjah 6, saya pernah berpisah dengan keluarga buat beberapa hari kerana mewakili WP Labuan dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah di SMK Bingkor Keningau.

Saya serombongan dari Labuan, antaranya bersama dengan Ust Zulkarnain Ali (blogger http://mesrarakyat.wordpress.com/. Saya darjah 6 dan dia darjah 4. Saya wakil tilawah dan dia wakil hafazan.

Masuk ke sekolah TOPUHARA diiringi oleh bapa, dia bercerita tentang zaman Malaysia yang dilihatnya semakin cerah dengan sinar Islam. Asbabnya, Anwar Ibrahim yang muncul sebagai tokoh gerakan Islam dalam kerajaan Malaysia berpotensi sebagai Perdana Menteri.

“Belajar rajin-rajin, nanti jadi peguam Islam. Masa tu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Islam lebih baik di Malaysia” Begitu lebih kurang nasihatnya.

Tiga

Akhir 1994, kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah mulai 1995. Takdirnya juga, pelajar yang dicari ialah lepasan PMR, iaitu umur kami ketika itu.

Puas diiklan, diceritakan dan dipujuk, saya tidak terfikir untuk menyertainya.

Ust Hj Muchlish yang ketika itu masih bertugas di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah memanggil saya :

“Bapa kamu mahu kamu masuk tahfiz”. Ust. Muchlish adalah rakan baik bapa saya ketika mereka sama-sama berkhidmat di Sipitang, daerah kelahiran saya.

Ketika itu saya buat donno saja. Akhirnya tidak lama saya masuk bersama rakan-rakan lain.

Empat

Bapa saya, Hj Othman Mahali dilahirkan pada 17 Januari 1944 di Labuan. Memulakan persekolahannya di Sekolah Rendah Kerajaan Labuan pada 1951.

Beliau pernah menjadi guru di beberapa buah sekolah seperti SMK Labuan, SMK Pengiran Omar Sipitang dan SMK Membedai Labuan dengan memegang pelbagai jawatan bermula sebagai guru biasa, guru penolong, Penolong Kanan dan Pengetua.

Tepat 11 tahun lalu beliau bersara dalam dunia pendidikan dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di Pejabat Pendidikan WP Labuan.

Kini selain dengan perniagaan HOM Enterprise di bandar Labuan, beliau dalam usia 66 tahun masih aktif dengan aktiviti sastera dan penulisan dalam Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA) yang beliau diantara pengasasnya.

Alhamdulillah dengan kesihatan yang Allah SWT berikan, beliau juga aktif dengan aktiviti pengimarahan sebagai pengerusi JK Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubok Temiang dan juga dalam Pertubuhan Peladang Kawasan WP Labuan.

Sebagai anak, saya menzahirkan perasaan kasih dan sayang melalui blog ini dengan kisah-kisah suka duka dan pahit manis yang saya catatkan sebagai kenangan untuk diabadikan bersama.

Semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan ketenangan dalam beribadah pada saat-saat usia emas sebegini bersama seluruh keluarga. Saya, isteri dan anak-anak mendoakan.

Gambar di atas dicilok daripada facebook babu Ika dalam kenduri keluarga untuk Nenek Aji dan Pacik Onn yang tarikh lahir mereka serentak pada 17 Januari. Seorang 1944, seorang lagi 1968.

Gambar Nenek Aji bersama 9 daripada 18 cucu yang berada di WP Labuan. Sembilan orang cucu lagi berada di KK.