Rabu malam khamis saya membawa anak kecil ke klinik di Putatan yang demam panas. Pemeriksaan doktor menunjukkan Aina stabil dan panasnya agak terkawal.

Esoknya, pagi-pagi lagi saya pula demam. Badan panas, tulang belakang sakit, kepala pening, sementara suara mulai serak. Tapi saya gagahkan juga ke pejabat seperti biasa.

Bahkan saya sempat memenuhi undangan menyampaikan tazkirah di pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di tingkat 5. Saya abaikan sakit itu dan rancak berceramah melebihi sejam lamanya.

Balik naik ke pejabat, rasa letih dan sakit memuncak. Saya terbaring di pejabat. Ada rakan menyuruh saya balik saja berehat tetapi saya abaikan memandangkan terpaksa juga mengambil isteri pada jam 5 petang di Surau Austral.

Kelas mengaji al-Quran tengahari ditangguhkan.

Maghrib saya terlena di sofa panjang. Terkejut dengan deringan telefon bimbit pada 8.15 malam oleh Ust Md Syahir Ismail dari Institut Perguruan Gaya. Ya, saya sudah berjanji untuk ceramah hijrah di surau mereka 8.30 malam.

Saya gagahi lagi sekali kerana tidak mahu menghampakan mereka. Ust Syahir mengundang saya sehari sebelumnya dan saya menyatakan persetujuan. Namun saya terlambat. Ruang ceramah diberikan dalam tempoh 20 minit.

Seharian itu saya tidak makan berat. Hanya makan kuih dan minum air. Yalah, ketika sakit semuanya rasa tawar, pahit dan kelat walaupun perut terasa lapar. Biasanya, saya akan muntah kalau makan ketika sakit.

Hari ini saya gagahkan lagi ke pejabat dengan kepala bertampal ‘setem’ ubat koyuk. Saya sebolehnya tidak mahu melayan sangat rasa sakit itu. Tambahan lagi tengahari saya dijadualkan sebagai khatib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil atas permintaan pengerusi Hj Ag Damit.

Dua jam di pejabat saya beransur pulang membawa teks khutbah yang bakal disampaikan pada tengaharinya. Saya mengambil masa untuk berehat mengurangkan kesakitan belakang dan pening kepala. Tiba di rumah saya terlantar serta merta.

Malang sekali, saya hanya tersedar pada jam 12.35 tengahari. Sudah tentu saya terlepas untuk tugasan khatib jumaat. Mohon maaf kepada JK masjid dan para jamaah di sana.

Selepas kesilapan itu, saya serta merta membatalkan semua kuliah, kelas dan program yang sepatutnya saya hadiri. Kuliah maghrib di Surau Taman Olivia, usrah di Surau Austral.

Kelas mengaji pagi nanti di KUWASA, semua undangan sepanjang siang sabtu dan kuliah maghrib pada malamnya di Masjid Lok Kawi Baru terpaksa dibatalkan.

Sebentar tadi isteri dan anak-anak menemani saya ke klinik. Aduh, macam-macam ubat saya dapat.

Kepada semua yang terlibat, maafkan saya. Izinkan saya berehat seketika barang sehari dua.

Saya gagahi membuat catatan ini sebagai penjelasan kepada mereka semua. Saya tahu, ramai di kalangan mereka adalah pembaca setia blog ini.