Ketika bertugas di istana negeri satu ketika dahulu, sempat saya mengendalikan program usrah beberapa kali.

Ia dihadiri sendiri oleh TYT Tun Ahmadshah dan tetamu yang diundang. TYT Tun sendiri begitu aktif dalam soal ini, sebelum bermula program dia sendiri akan memastikan beberapa rakan rapatnya dijemput sama.

Antara tetamu lain ialah wakil-wakil masjid, surau, jabatan kerajaan dan NGO. Biasanya saya jemput secara bergilir. Yang sudah pernah dijemput, tidak akan diundang lagi bagi memberi peluang kepada yang lain.

Teringat, dalam beberapa kali usrah itu, TYT Tun ada mengingatkan wakil-wakil masjid dan surau yang hadir, agar mengadakan aktiviti yang sama. Beliau menggesa masjid dan surau mengaktifkan program kuliah dan ceramah, termasuk usrah.

Katanya, Ustaz Akmal akan pantau. Kalau tiada penceramah atau pembimbing, suruh dia cari. Kata-kata beliau saya ingati benar.

Bermulalah selepas itu, kerja-kerja saya untuk memerhati beberapa masjid dan surau yang sudah pernah dijemput ke istana agar mengaktifkan kuliah-kuliah khusus berkait fardhu ain.

Sebahagian kecilnya menjadi, antaranya saya sendiri mengambil bahagian dalam kuliah-kuliah maghrib yang kini menjadi jadual harian saya.

Ada masjid dan surau yang begitu berminat, tetapi ustaz yang diminta begitu liat sekali. Terlalu merendah diri pun ada, malas pun ada. Kebanyakannya berat hati untuk tampil di hadapan menyampaikan kuliah. Mereka lebih selesa hanya di sekolah atau di pejabat.

Dalam soal ini, salah seorang yang berhasil dan saya kira agak menjadi,  ialah Ust Md Khidir Ishak. Beliau ketika itu bertugas di SM La Salle Tg Aru dan tinggal di Taman BDC Kolombong.

Beliau mengendalikan kuliah di Masjid an-Nur, Kg Cenderakasih Kolombong (Jalan Lintas) seminggu sekali menggunakan kitab Riyadhus Solihin susunan Imam an-Nawawi RHA.

Agak saya dari sanalah kami mula rapat.

Kemudiannya bersama-sama menyertai team ‘Sahabat Bible’ di bawah Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah. Pada mulanya menjadi pengikut kepada Ust Hj Abdullah Din, sehingga kemudiannya menjadi mengetuai team ini selepas Ust Abdullah pulang ke Kedah.

Banyak juga sekolah-sekolah yang kami datangi untuk mengadakan kursus pemantapan aqidah. Perbandingan agama khususnya Islam-Kristian, al-Quran-Bible menjadi modal besar kami yang menjadi tarikan peserta.

Selain khidmat di sekolah dan PUM Sabah, beliau juga terlibat aktif di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang.

Dalam mengendalikan program PUM dan bekerjasama dengan JAKIM, Ust Khidir salah satu penghubungnya selain Che’gu Jamil Dayan. Hubungan rapat dengan JAKIM Sabah terbukti apabila wakil JAKIM Sabah turut hadir menghantar pulang di LTAKK sabtu lalu.

Sembilan tahun menabur bakti di bumi Sabah, beliau pulang ke Negeri Sembilan. Mengukuh dan meningkatkan ilmu akademiknya dalam bidang dakwah (MA) di UKM. Entah kembali ke sini atau tidak, Allah saja yang Maha Mengetahui.

Untuk isteri dan anak-anaknya, kami juga menyampaikan sekalung terima kasih atas pengorbanan yang diberikan. Sebahagian masa untuk keluarga terpaksa dikorbankan untuk program dakwah khususnya bersama PUM bergerak di daerah-daerah.

Terima kasih semuanya.