Alhamdulillah, SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah menutup rekod tahun 2009 dengan beberapa pelajarnya mencatat keputusan memberansangkan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu.

Keputusan 9A yang diperolehi Adibah Bahirah Azzahra binti Hamjah dan Nazira binti Shamad membuatkan warga sekolah berkenaan tersenyum riang.

Baik pengetua, Ustaz Hj Ag Omar Hj Pg Gana, para guru sehingga seluruh pelajarnya bersyukur dengan keputusan diperolehi Adibah dan Nazira. Lebih membanggakan, ibu kepada Adibah adalah salah seorang guru di sekolah ini.

Cikgu Jonisah, seingat saya mula berkhidmat di sekolah ini pada tahun 90an. Beliau pernah menjadi guru kelas ketika kami dalam tingkatan 5 pada 1997. Anak murid tumpang bangga dengan Cikgu Jane.

Sementara bapa Adibah pula, Hamjah Rusli adalah seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sepanggar.

Nazirah pula yang berasal dari Kg Muhibbah Petagas dan menetap kini di Lok Kawi Height. Bapanya bertugas di Jabatan Arkib sebagai penjilid buku sementara ibunya jurutaip di Mahkamah Tinggi.

Selain Adibah dan Nazira, turut mendapat keputusan memberangsangkan ialah Khadijah binti Muhammad Sayuti (8A 1B), Nurdiana binti Wanawin (8A 1B), Siti Fatimah Az-Zahra binti Abdul Halim (8A 1B), Mohamad Aznan bin Aliudin (7A 2B), Nurul Nazihah binti Mahadi (6A 3B), Muhammad Noor Syukri bin Abd Rahim (6A 2B 1C), Nor Azlina binti Abd Danan (5A 3B 1C) dan Norsaidatul Akmal binti Saidi (5A 3B 1C).

Menurut tuan pengetua, penghayatan pelajar dan guru terhadap jalinan dan hubungkait visi personal dengan visi dan misi sekolah merupakan pendorong utama kepada peningkatan kemerlangan pelajar sekolah berkenaan.

Sementara itu, Adibah dan Nazira yang merupakan rakan karib sejak 3 tahun lalu menceritakan bahawa mereka tidak menjangka memperolehi keputusan 9A sebagaimana yang diumumkan.

Ketika peperiksaan percubaan sebelum itu, Adibah hanya memperolehi 2A 7B sementara Nazira pula 3A 6B. Dalam pada itu, mereka turut berkongsi pandangan bahawa selain kaedah pembelajaran yang betul di dalam kelas,  mereka juga suka membuat nota bagi setiap pelajaran.

Adibah dan Nazira turut merakamkan penghargaan mereka kepada para guru, ibu bapa dan rakan-rakan sekelas yang saling memberikan sokongan kepada mereka. Tidak ketinggalan Adibah meminta seorang nama sahabat mereka dicatat secara khusus, Nuriyam Naim.

Tahniah kesemuanya!