Sebagai orang yang pernah belajar di sekolah ini, dan pernah merasai nikmat ditinggalkan keluarga, kenangan pada hari pendaftaran adalah sesuatu yang nostalgia sekali.

Saya mendaftar diri di sekolah ini pada 26 Disember 1991, diteman bapa dari kampung, berhadapan dengan seorang kakak tingkatan enam yang ditugaskan mendaftar pelajar baru tingkatan 1.

Kakak yang dimaksudkan ialah Ustazah Nordianah Hj Alwi, yang kini bertugas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI).

Selesai mendaftar, kami dibawa ke asrama, mengangkut beg serta barangan yang berkaitan serta dihantar ke bilik yang sudah ditetapkan. Senior yang menemani ke bilik ialah Abang Norali Awang Damit yang berasal dari Kg Benoni Papar.

Melihat pada pagi tadi, sesi pendaftaran tingkatan 1 di SMU Toh Puan Hajjah Rahmah, saya tersenyum sendiri.

Bagi yang berpisah dengan ibu bapa buat kali pertamanya, ia bakal menjadi memori yang sukar dilupakan. Bimbang, takut, sedih, gemuruh, semangat, gembira, teruja dan sebagainya.

Bagaimanapun, kepada sejumlah 30 pelajar putera dan 57 puteri yang terpilih dari seluruh negeri ke sekolah ini harus memikirkan pengorbanan kedua orang tua mereka.

Inilah detiknya untuk mencipta sejarah baru buat diri masing-masing, membina keyakinan untuk merubah diri ke arah yang lebih baik, sehingga kita bertemu Allah SWT suatu hari nanti.

Kepada adik-adik, tahniah kerana terpilih ke sekolah hebat ini, dan selamat berjuang.