Archive for Disember, 2009


SANAH HELWA ABDUL HADI

Tahun ini sekali lagi hero kami menyambut ulangtahun di Labuan seperti tahun lalu. Kehadiran sepupu sepapat, babu dan ‘ammu di Labuan dalam cuti Krismas memeriahkan sambutan kali ini di Perumahan Layang-Layangan.

Umur 3 tahun, Abd Hadi semakin aktif bermain, mula mendominasi kakak-kakak dan adik-adiknya. Maklumlah, dia satu-satunya hero kami setakat ini. Sudah ‘terror’ memukul kakaknya, dan kurang berkongsi mainan dengan yang lain.

Tetapi ada yang sedikit kerisauan kami.

Dia masih takutkan Nenek Aji di Labuan. Sejak lahir sehingga kini, takutnya bukan main. Bermacam pujukan dibuat, Nenek Aji belikan coklat, mainan, baju dan macam-macam.

Dalam ketakutan dia menyambut hadiah yang dibagi, tetapi kemudian kembali menjauhkan diri di belakang umminya.

Disuruh bersalam, dia mahu dalam terpaksa. Melambai tangan sambil menangis ketakutan ke arah Nenek Aji yang menuju ke masjid.

Selain itu, tiada yang ditakutinya. Binatang atau serangga yang dilihatnya, dia berani menyergah atau menangkapnya. Tikus, kucing, lipas, belalang habis dikejarnya.

Kedua, Abdul Hadi sedikit pelat dalam bertutur. Tahun hadapan dia akan dihantar masuk ke PASTI. Kerap benar dia menyebutnya hendak sekolah PASTI.

Kebimbangan kami apabila dia sekolah nanti tentang pelatnya itu. Dia sukar menyebut huruf ‘k’. Semua kalimah yang ada ‘k’ diganti dengan huruf ‘t’.

‘Buka’, dikatanya ‘buta’. ‘Kaki’ disebutnya ‘tati’. Bayangkanlah apa disebutnya apabila melihat buku… aduh.

KEMALANGAN

Ketenangan bercuti di kampung halaman terusik apabila mendengar khabar musibah yang menimpa rakan lama.

Ust Md Fauzi Hj Ghazali, 33 tahun (anak Ust Hj Ghazali Sulaiman) bersama isteri Ustazah Rozanah Abd Razak, 31 tahun; dua cahayamata Ahmad dan Miqdad beserta pembantu rumah mereka terbabit dalam kemalangan di Kalabakan Tawau pada pagi jumaat.

Fauzi dan Rozana adalah senior di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Saya mendapat khabar awal daripada rakan di Beaufort Ust Abd Amir sekitar jam 4 petang, meminta kepastian saya tentang berita yang diterimanya. Segan menghubungi keluarga Ust Hj Ghazali di Kg Pasir Putih Putatan, saya menghubungi pula Ust Hj Muchlish Ali Kasim.

Sah, mereka kemalangan.

Kemudian, sahabat saya Ust Safruddin pula memaklumkan sejam kemudian tentang musibah itu.

Fauzi khabarnya dalam perjalanan ke Tawau untuk berpindah ke sana setelah mendapat pertukaran sekolah dari SMK Tebobon Kota Kinabalu.

Hari khamis bertolak ke Tawau melalui Keningau dan bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan melalui Nabawan-Tawau. Mereka sekeluarga dikatakan kemalangan dalam keadaan jalan licin akibat hujan lebat.

Dalam kemalangan itu, kereta mereka bergolek beberapa kali. Fauzi tidak mengalami kecederaan sementara Kak Janah cedera di mulut sementara Miqdad cedera di bahu.

Ujian besar mereka apabila Ahmad yang berumur 5 tahun meninggal dunia.

Kalau tidak salah saya beberapa tahun lalu mereka juga pernah terbabit dalam kemalangan di Kunak pada musim perayaan.

Terasa pilu mengingati mereka kerana umur anak yang lebih kurang sebaya. Tambahan kedua-dua mereka suami isteri sangat saya kenali. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada mereka.

LABUHAN

Tengahari semalam, kami sekeluarga mendarat di sini. Meski KK-Labuan bukanlah jauh mana, inilah kepulangan kami yang kedua sepanjang 2009.

Memulakan perjalanan dari Putatan jam 8 pagi dan tiba di pelabuhan Menumbok 2 jam kemudian. Pelayaran menurut jadual asal adalah pada jam 10.30 pagi bagaimanapun terlewat hampir 50 minit.

Menurut cerita orang-orang tua, nama asal Labuan adalah Labuhan, melihat kepada kedudukan pulau ini sebagai tempat kapal dan feri berlabuh. Selain itu, pada zaman dahulu, kebanyakan penduduk pulau bekerja sebagai nelayan.

Terdapat perjalanan dua hala feri atau bot antara Labuan-Brunei, Labuan-Limbang, Labuan-Menumbok, Labuan-Kota Kinabalu setiap hari. Bahkan dari perkampungan atas air di Kg Patau-Patau terdapat perkhidmatan bot/perahu untuk ke bandar yang saling berhadapan.

Pada zaman 40-50an, anak-anak kampung misalnya dari Kg Rancha-Rancha menaiki perahu menuju ke pekan sejauh 5km sebelum berjalan kaki ke sekolah di pekan.

Kini di kawasan bandar terdapat sebuah terminal feri antarabangsa untuk tempat berlabuh dan berlepas antara Labuan dan semua destinasi tersebut. Bahkan usaha untuk menambah feri besar antara Labuan-Menumbok sedang diusahakan.

Di Labuan juga ada Kompleks Sukan Laut Antarabangsa yang menjadi lokasi pertandingan sukan air peringkat tempatan sehingga antarabangsa. 

Menurut catatan di Muzium Labuan, 2000 tahun sebelum masihi, Labuan telah menjadi penempatan manusia pra-sejarah dari zaman Neolitik.

Labuan pernah dikuasai oleh Kesultanan Brunei (1485-1524) pada zaman kegemilangannya, bahkan keseluruhan Pulau Borneo dan Kepulauan Filipina.

Selain itu, Labuan juga pernah ditadbir oleh British(1846), British North Borneo Chartered Company (1890), diserap sebagai Negeri Selat (1907), Jepun (1942), Tanah Jajahan Borneo Utara (1946).

Labuan merdeka di bawah Malaysia melalui Sabah (1963) dan kemudian menjadi Wilayah Persekutuan (1984).

 

Atas inisiatif beberapa rakan, khususnya Tuan Hj Md Pozi Awang (Setiausaha Syukbah Dakwah Masjid Negeri), sejak April lalu diadakan kuliah berkenaan di Masjid Negeri.

Ketetapannya ialah pada setiap selasa, 8.30-9.30 malam di bilik kuliah dan dibimbing oleh Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim, Pengerusi Syukbah Dakwah Masjid Negeri yang juga Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Sehingga selasa lalu, sudah 21 kali kuliah berlangsung dan pengajian sudah memasuki rukun solat. Buku yang digunakan sebagai rujukan ialah Kitab Fikah Mazhab Syafie yang diterjemahkan daripada bahasa Arab (Fiqhul Manhaji).

Ketika hadir buat pertama kalinya selasa lalu, saya sempat melihat buku kehadiran yang diedarkan untuk diisi oleh pelajar yang hadir. Kehadiran teramai pernah dicatat seramai 43 orang. Insya Allah, saya akan membantu kempen kewujudkan kelas ini.

Insya Allah, walaupun ketinggalan beberapa tajuk, saya berazam sempena 1431H untuk menyertai kelas ini bagi memantapkan ilmu fiqah berdasarkan mazhab syafie. Kepakaran dan pengalaman al-Fadhil Ust Muchlish sudah terbukti dengan penglibatan beliau dalam pelbagai pengajian ilmu di pelbagai tempat.

Rakan-rakan yang berminat, boleh terus hadir di masjid berkenaan pada masa yang ditetapkan. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang meminati ilmu agama ini – remaja, belia, dewasa, orang tua, lelaki atau perempuan, dipersilakan hadir.

Boleh datang berjamaah maghrib dan isyak di Masjid Negeri, ataupun berjamaah di surau dan masjid masing-masing sebelum bergerak hadir di sana sebelum 8.30 malam.

Tarikh 9 dan 10 Muharram jatuh pada 26 dan 27 Disember iaitu sabtu dan ahad ini.

Antara fadhilatnya ialah bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab : “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (HR Imam al-Tirmizi).

Adapun tentang puasa pada 9 Muharram, dalilnya juga berpandukan hadith Nabi SAW yang menyeru agar puasa 9 Muharram dilakukan.

Daripada Ibnu Abbas RA katanya : “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Mereka berkata : Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.

Rasulullah SAW menjawab : “Sekiranya pada tahun hadapan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9″.

Ibnu Abbas berkata : “Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (HR Muslim)

Antara tujuan puasa digandingkan 2 hari itu kerana untuk membezakan amalan kaum Yahudi yang  hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Dalam beberapa kuliah di beberapa buah masjid dan surau, saya juga menyebutkan hal ini supaya kita berpuasa dan mengadakan jamuan berbuka puasa beramai-ramai di masjid dan surau masing-masing untuk menambahkan syiar ibadah ini.

Sebelum khutbah jumaat, JK masjid boleh tolong umum dan kempen kepada jamaah yang hadir. Bahkan khatib boleh menyebut dan menimbulkan kesedaran kepada ma’mum. Wallahu a’lam.

Alhamdulillah, kuliah hadith yang diadakan pada setiap selasa di Masjid Mahabbah Kg Muhibbah, menggunakan kitab hadith 40 susunan Imam an-Nawawi telahpun selesai minggu ini.

Ketika sekolah agama, hadith 40 ini begitu masyhur dan dipelajari di sekolah. Dihafaz secara matan dan maknanya, mengikut kadar kemampuan umur 10-12 tahun ketika itu.

Saya teringat, ketika mula-mula sampai di Shoubra Kaherah tahun hujung Ogos 2000, antara program awal Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) Shoubra untuk kami ialah Daurah Kitab Hadith 40 yang diadakan secara marathon, bermula pada waktu pagi dan berakhir pada waktu asar.

Pengalaman berharga itu saya kembangkan pula beberapa tahun lalu apabila mengadakan program yang sama di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL). Bermula 8.30 pagi dan berakhir 4.30 petang.

Ruang yang diberikan oleh Ust Hj Khamis Jamil yang tinggal di Taman Jumbo berdekatan Kg Muhibbah yang juga pegawai di Bahagian Dakwah JHEAINS sangat bermakna sekali.

Kuliah Hadith 40 itu bermula pada awal April lalu setiap selasa selepas solat maghrib dan biasanya berlanjutan sekitar sejam. Biasanya satu hadith seminggu, tetapi kadang-kadang dua atau 3 hadith.

Kuliah di sini jarang saya ponteng berbanding di tempat lain, kerana waktu kebiasaan saya keluar daerah atau memenuhi undangan lain berlaku pada hujung minggu saja.

Di masjid berkenaan, saya mendapat ramai rakan baru yang begitu mengambil berat soal ilmu dan persahabatan. Dalam masa yang sama, saya menerima banyak pengalaman berharga dan karenah jamaah yang pelbagai ragamnya.

Dari segi kuantiti jamaah, di sini antara yang teramai kerana kehadiran boleh menjangkau 60-70 orang khususnya apabila kuliah mingguan itu memasuki separuh masa kedua.

Mudah-mudahan pengajian hadith itu memberi kesan dalam diri kita, bermula dengan membetul dan mengikhlaskan niat kepadaNya, sehingga hadith yang terakhir, kita berdoa dan berharap kepadaNya semata-mata.

‘Kontrak’ asal sudah berakhir, jika ada tawaran semula di sana saya akan menyambung dengan buku lain pula. Jika tiada, saya bersedia menerima undangan di tempat lain.

Satu demi satu dipanggil dan dijemput oleh Allah SWT.

Sebelum ini mendengar khabar dari jauh ayahanda kepada Ust Azman Mustafa meninggal dunia di Kubang Kerian Kelantan, kemudian ayahanda kepada Ust Sayuti Hj Shukor di Kedah.

Minggu lalu, abang kepada Hj Razali Kadir meninggal dunia di Ipoh, begitu juga bonda kepada Ust Mohammad Shuaid – Allahyarham Radhiah Mat Yasin di Selangor, juga abang kepada rakan sepejabat Hadnan Aliamat di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Pagi selasa lalu, seorang yang pernah bertugas di pejabat kami kembali ke rahmatullah. Hj Abbas Arshat, 60 tahun dikatakan sesak nafas di rumahnya pada awal pagi selasa.

Maghrib dan isyaknya dia berjamaah seperti biasa di surau Kg Somboi Kinarut dimana beliau menjadi pengerusinya.

Saya mengenalinya tetapi tidak begitu rapat, tetapi minggu lalu beliau datang ke pejabat mengambil taqwim solat serta sempat bersembang di bilik saya, bercerita tentang rancangan mengadakan program kuliah dan ceramah yang wajar diadakan di surau mereka.

Beliau pernah bertugas di bahagian kami sebagai ketua kerani dan pencen di JHEAINS kira-kira 4 tahun lalu.

Semalam pula, saya baru mendapat berita daripada Hj Sotimin Sarun, pegawai di bahagian kami juga berkenaan pemergian ibu yang dikasihinya juga pada pagi selasa di Ranau.

Ibu beliau katanya berumur 96 tahun dan sakit tua.

Cukuplah kematian itu sebagai pengajaran. “Ya Allah, janganlah Engkau ambil nyawa kami secara mengejut”.

“Dan Kami pasti menguji kamu dengan sesuatu berbentuk ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan tanaman; berilah khabar gembira buat orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata : Kami ini milik Allah, dan sesungguhnya kepadaNya semuanya akan kembali”

CIKGU HAJI SALAMAT DALIMAN

Sejak kepulangan jamaah haji tahun ini, saya belum menemui sesiapa di kalangan mereka termasuk ahli keluarga yang baru bergelar haji dan hajjah itu kecuali Ustazah Hjh Zubaidah Jamadi, pegawai JHEAINS yang menjadi pembimbing haji.

Saya belum bertemu Hj Pozi, Ust Hj Bungsu, Hj Shah, Hj Idzam, Hj Zawawi, Datuk Hj Ibrahim, Cikgu Hjh Ben dan lain-lain. Walaubagaimanapun, isnin lepas saya berkesempatan berkunjung ke rumah rakan lama Amirul yang menyambut kepulangan kedua orang tuanya dari tanah suci.

Cikgu Haji Salamat adalah guru saya di SK Pekan 2 WP Labuan. Beliau anak jati Labuan dan kini berumur 54 tahun. Sejak tamat sekolah rendah pada hujung 1991, saya tidak bertemu beliau sehingga 2 malam lalu.

Tidak banyak berubah wajah beliau sejak 17 tahun lalu, hanya sedikit kedutan wajah dan uban yang mula menghiasi rambut dan misai di wajahnya.

Khidmat beliau dalam dunia pendidikan sama lama dengan usia saya. Bermula 1979, beliau berkhidmat di SMK Panglima Abdullah Semporna; pernah juga di SMK Mempagar (1980-82) – kini dikenali SMK Beaufort; kemudian kembali ke WP Labuan di SMK Membedai mulai 1982-88; dan kemudiannya di SK Pekan 2 sehingga 1998.

Saya mula mengenali beliau ketika beliau bertugas di SMK Membedai kerana ketika itu bapa saya adalah pengetuanya, sementara apabila saya pindah sekolah dari kampung ke SK Pekan 2, beliau juga salah seorang tenaga pendidik di sana.

Sejak 1998, Cikgu Salamat naik ke Pejabat Pelajaran Bahagian (PPB) Labuan sebagai penyelia. Apabila PPB naik taraf sebagai jabatan, beliau naik juga sebagai penyelia kanan.

Kata beliau, kini bertugas sebagai Penolong Pengarah (Unit Hal Ehwal Murid).

Sebelum doa selamat dirafa’kan, saya sampaikan sedikit tazkirah tidak sampai 5 minit kepada ahli keluarga dan tetamu yang hadir.

Selain bertemu mengubat rindu, pengajaran paling besar ialah kita mesti menyimpan cita-cita dan azam untuk sampai ke sana menyahut panggilan haji yang difardhukan itu.

Kepada Cikgu Haji dan Hajjah, semoga mendapat haji mabrur dan mudah-mudahan dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur. Ilmu yang dicurah selama menjadi pendidik, hanya Allah yang mampu membalas.

Buku yang baru dibaca :

“Wahai orang beriman! Minta tolonglah kamu dengan cara bersabar dan mendirikan solat, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar”

Bab 1 Sakit Menurut Pandangan Islam

Penyakit Hati; Penyakit Jasmani; Pengubatan Sendiri; Setiap Penyakit Ada Ubatnya; Keutamaan Sakit dan Orang yang Sakit; Keutamaan Menziarahi Orang Sakit; Mencegah Lebih Baik daripada Mengubati; Jangan Lupa Berdoa.

Bab 2 Kenapa Kesihatan Perlu Dijaga?

Jasmani yang Sihat; Rohani yang Sihat.

Bab 3 Menjaga Kesihatan Seperti Nabi

Cara Pencegahan; Cara Penyembuhan.

Bab 4 Ibadah-ibadah yang Menyihatkan

Bersuci; Mengamalkan Sunnah Fitrah; Membasuh Tangan; Bersiwak; Wuduk; Mandi; Solat Tahajud; Solat Subuh; Puasa.

Bab 5 Menyingkap Kelebihan Solat

Perkara Kedua Penting Selepas Syahadah; Pengukur Keimanan; Medium Penghubung antara Hamba dan Allah; Penghapus Dosa; Simbol Islam; Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar; Jalan Keluar daripada Kesulitan; Pembuka Pintu Rezeki

Bab 6 Solat Mengubat Penyakit Rohani

Solat Mendatangkan Ketenangan Jiwa; Solat Melahirkan Akhlak Mulia; Solat Mengubati Penyakit Cintakan Dunia; Solat Menjadi Terapi Penyakit Masyarakat; Solat Menjauhkan Rasa Sepi dan Sedih; Kesimpulan.

Bab 7 Berubat dengan Solat

Terdapat Ubat dalam Solat; Solat Sumber Kesihatan daripada Allah; Bukti Pakar Perubatan Barat; Rahsia Waktu Solat; Mukjizat Pergerakan dalam Solat; Sihat dengan Solat; Jiwa Raga Sihat; Seimbangkan Tekanan Darah; Sujud Melancarkan Peredaran Darah ke Otak; Mencegah Penyakit Jantung; Menguatkan Antibodi; Tulang Lebih Kuat; Mencegah Tulang Menjadi Lemah; Mencegah Varises; Melambatkan Proses Penuaan; Kesimpulan.

Bab 8 Kisah Benar Berubat dengan Solat

Kisah 1: Solat Menghilangkan Rasa Sakit; Kisah 2: Solat Mengubati Kekotoran Paru-Paru; Kisah 3: Solat Memulihkan Tulang Retak; Kisah 4: Solat Mengubati Sakit Otot; Kisah 5: Solat Menyembuhkan Cedera Akibat Kemalangan; Kisah 6: Solat Menyelamatkan daripada Bunuh Diri. 

Penulis : Fahrur Muis

Penerbit : PTS Islamika

Harga : Semenanjung Malaysia : RM13.00; Sabah & Sarawak : RM15.00.

Dapatkan buku berkenaan di Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher Likas, Kota Kinabalu. (Lihat gambar iklan Pustaka Aslam di sisi kanan)

Malam isnin lalu, saya ke Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas memenuhi undangan ceramah Ma’al Hijrah seperti yang diminta sejak 3 minggu lalu.

Sebenarnya, atas kelalaian sendiri, saya hampir terlupa jemputan itu dan sudah mengesahkan jemputan ceramah yang sama di Surau Taman Limauan. Tetapi beberapa hari sebelum itu, saya dihubungi semula oleh pihak JK Masjid Kg Bangka-Bangka.

Saya mengesahkan kehadiran di Masjid Bangka-Bangka, sementara di Surau Taman Limauan saya pohon Ust Hj Muchlish menggantikan tempat.

Cerita hijratur Rasul SAW saya mulakan secara ringkas bermula dari perutusan baginda sebagai Rasul, dakwah secara senyap, dakwah secara terbuka, penentangan musyrikin dan penderaan terhadap sahabat baginda SAW.

Di dalam peristiwa ini juga, Rasulullah SAW menitik beratkan tentang strategi, peranan semua pihak untuk Islam seperti ketua, ahli korporat, belia, muslimat, rakyat marhaen bahkan orang bukan Islam juga seperti peranan yang dimainkan oleh Abdullah bin Uraiqit.

Sesudah itu, saya mengajak hadirin agar membuat perubahan yang lebih baik, sama ada untuk diri sendiri, keluarga dan negara.

Sesungguhnya hijrah Rasulullah SAW antara lain bertujuan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh, bukan hanya sekadar solat atau haji yang boleh dilaksanakan tanpa baginda berhijrah.

%d bloggers like this: