Alhamdulillah, dengan segala kekurangan dan serba kelemahan, kami di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan berjaya menamatkan bacaan hadith-hadith Rasulullah SAW yang dipetik dari Kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah.

Kitab ini mengandungi 294 hadith pilihan dari Kitab Sahih Imam al-Bukhari. Buku terjemahannya ditulis oleh Ustaz Mustafa Abd Rahman terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Kitab Hadith al-Jami’ as-Sahih susunan Imam al-Bukhari merupakan kitab hadith yang mendapat perhatian paling besar di kalangan para ulama’, baik yang terdahulu sehingga kini.

Para ulama’ kemudiannya mengarang kitab-kitab syarah, ulasan dan komentar, mengeluarkan istinbath hukum daripadanya. Di kalangan mereka terdapat juga yang mengusahakan ikhtisar atau ringkasan supaya lebih diambil manfaatnya.

Antara kitab yang mensyarahkan kitab al-Jami’ as-Sahih karangan Imam al-Bukhari ialah

1) Kitab al-Kawakib ad-Darari Fi Syarh Sahih al-Bukhari tulisan al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Yusuf bin Ali al-Karmani yang wafat pada 786H. Kitab ini selesai ditulis pada 775H.

2) Kitab Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani yang wafat pada 825H. Fathul Bari mengandungi sebanyak 13 jilid dan ditulis oleh Ibnu Hajar selama 25 tahun (817H-842H).

3) Kitab Umdatul Qari karya al-Allamah Syaikh Badruddin Mahmud bin Ahmad al-Aini al-Hanafi yang wafat pada 855H. Kitab ini dikarang beliau selama 26 tahun (821H-847H).

4) Kitab Irsyadus Sari ila Sahih al-Bukhari, karya al-Allamah Syaikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Khatib yang terkenal dengan sebutan al-Qastalani yang wafat pada 922H.

Selain itu, antara kitab ikhtisar (ringkasan) kepada al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari ialah Kitab Jam’un Nihayah Fi Bad’il Khair wal Ghayah karya Abu Muhammad Abdullah Saad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi. Beliau wafat pada 699H di Mesir.

Kitab ini kemudiannya beliau syarahkan dan diberi judul Bahjatun Nufus wa Ghayatuha bi Ma’rifati Ma Laha wa ‘Alaiha. Mukhtasar ini kemudiannya lebih dikenali sebagai Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah memuatkan 294 hadith sahih yang disaring daripada sejumlah 7397 buah hadith dalam al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari.

Bermula dengan hadith kisah permulaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, kami terus berdikit-dikit membaca dan bergerak sehingga hadith yang terakhir berkenaan firman Allah SWT kepada penduduk syurga.

Mengakui dengan segala kekurangan dan kelemahan itu, bacaan hadith-hadith ini banyak saya rujuk hasil mengaji bersama Shaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari satu ketika dahulu.

Di Masjid as-Sobirin ini, kuliah bermula pada 2 April 2007 dan berakhir pada Disember 2009 lalu. Semoga ada sedikit hasilnya untuk saya hadapi di hadapan Allah SWT.

Terima kasih kepada pengerusi JK Masjid Hj Ag Damit Yusuf bersama AJKnya serta jamaah yang setia mendengar celoteh dan teguran saya selama hampir 3 tahun lamanya.

Kontrak sudah habis, saya menanti pelawaan seterusnya, sama ada kekal di sana atau menerima undangan di surau atau masjid lain.