Tahun ini sekali lagi hero kami menyambut ulangtahun di Labuan seperti tahun lalu. Kehadiran sepupu sepapat, babu dan ‘ammu di Labuan dalam cuti Krismas memeriahkan sambutan kali ini di Perumahan Layang-Layangan.

Umur 3 tahun, Abd Hadi semakin aktif bermain, mula mendominasi kakak-kakak dan adik-adiknya. Maklumlah, dia satu-satunya hero kami setakat ini. Sudah ‘terror’ memukul kakaknya, dan kurang berkongsi mainan dengan yang lain.

Tetapi ada yang sedikit kerisauan kami.

Dia masih takutkan Nenek Aji di Labuan. Sejak lahir sehingga kini, takutnya bukan main. Bermacam pujukan dibuat, Nenek Aji belikan coklat, mainan, baju dan macam-macam.

Dalam ketakutan dia menyambut hadiah yang dibagi, tetapi kemudian kembali menjauhkan diri di belakang umminya.

Disuruh bersalam, dia mahu dalam terpaksa. Melambai tangan sambil menangis ketakutan ke arah Nenek Aji yang menuju ke masjid.

Selain itu, tiada yang ditakutinya. Binatang atau serangga yang dilihatnya, dia berani menyergah atau menangkapnya. Tikus, kucing, lipas, belalang habis dikejarnya.

Kedua, Abdul Hadi sedikit pelat dalam bertutur. Tahun hadapan dia akan dihantar masuk ke PASTI. Kerap benar dia menyebutnya hendak sekolah PASTI.

Kebimbangan kami apabila dia sekolah nanti tentang pelatnya itu. Dia sukar menyebut huruf ‘k’. Semua kalimah yang ada ‘k’ diganti dengan huruf ‘t’.

‘Buka’, dikatanya ‘buta’. ‘Kaki’ disebutnya ‘tati’. Bayangkanlah apa disebutnya apabila melihat buku… aduh.