Atas inisiatif beberapa rakan, khususnya Tuan Hj Md Pozi Awang (Setiausaha Syukbah Dakwah Masjid Negeri), sejak April lalu diadakan kuliah berkenaan di Masjid Negeri.

Ketetapannya ialah pada setiap selasa, 8.30-9.30 malam di bilik kuliah dan dibimbing oleh Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim, Pengerusi Syukbah Dakwah Masjid Negeri yang juga Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Sehingga selasa lalu, sudah 21 kali kuliah berlangsung dan pengajian sudah memasuki rukun solat. Buku yang digunakan sebagai rujukan ialah Kitab Fikah Mazhab Syafie yang diterjemahkan daripada bahasa Arab (Fiqhul Manhaji).

Ketika hadir buat pertama kalinya selasa lalu, saya sempat melihat buku kehadiran yang diedarkan untuk diisi oleh pelajar yang hadir. Kehadiran teramai pernah dicatat seramai 43 orang. Insya Allah, saya akan membantu kempen kewujudkan kelas ini.

Insya Allah, walaupun ketinggalan beberapa tajuk, saya berazam sempena 1431H untuk menyertai kelas ini bagi memantapkan ilmu fiqah berdasarkan mazhab syafie. Kepakaran dan pengalaman al-Fadhil Ust Muchlish sudah terbukti dengan penglibatan beliau dalam pelbagai pengajian ilmu di pelbagai tempat.

Rakan-rakan yang berminat, boleh terus hadir di masjid berkenaan pada masa yang ditetapkan. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang meminati ilmu agama ini – remaja, belia, dewasa, orang tua, lelaki atau perempuan, dipersilakan hadir.

Boleh datang berjamaah maghrib dan isyak di Masjid Negeri, ataupun berjamaah di surau dan masjid masing-masing sebelum bergerak hadir di sana sebelum 8.30 malam.