Tarikh 9 dan 10 Muharram jatuh pada 26 dan 27 Disember iaitu sabtu dan ahad ini.

Antara fadhilatnya ialah bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab : “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (HR Imam al-Tirmizi).

Adapun tentang puasa pada 9 Muharram, dalilnya juga berpandukan hadith Nabi SAW yang menyeru agar puasa 9 Muharram dilakukan.

Daripada Ibnu Abbas RA katanya : “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Mereka berkata : Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.

Rasulullah SAW menjawab : “Sekiranya pada tahun hadapan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9″.

Ibnu Abbas berkata : “Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (HR Muslim)

Antara tujuan puasa digandingkan 2 hari itu kerana untuk membezakan amalan kaum Yahudi yang  hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Dalam beberapa kuliah di beberapa buah masjid dan surau, saya juga menyebutkan hal ini supaya kita berpuasa dan mengadakan jamuan berbuka puasa beramai-ramai di masjid dan surau masing-masing untuk menambahkan syiar ibadah ini.

Sebelum khutbah jumaat, JK masjid boleh tolong umum dan kempen kepada jamaah yang hadir. Bahkan khatib boleh menyebut dan menimbulkan kesedaran kepada ma’mum. Wallahu a’lam.