Satu demi satu dipanggil dan dijemput oleh Allah SWT.

Sebelum ini mendengar khabar dari jauh ayahanda kepada Ust Azman Mustafa meninggal dunia di Kubang Kerian Kelantan, kemudian ayahanda kepada Ust Sayuti Hj Shukor di Kedah.

Minggu lalu, abang kepada Hj Razali Kadir meninggal dunia di Ipoh, begitu juga bonda kepada Ust Mohammad Shuaid – Allahyarham Radhiah Mat Yasin di Selangor, juga abang kepada rakan sepejabat Hadnan Aliamat di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Pagi selasa lalu, seorang yang pernah bertugas di pejabat kami kembali ke rahmatullah. Hj Abbas Arshat, 60 tahun dikatakan sesak nafas di rumahnya pada awal pagi selasa.

Maghrib dan isyaknya dia berjamaah seperti biasa di surau Kg Somboi Kinarut dimana beliau menjadi pengerusinya.

Saya mengenalinya tetapi tidak begitu rapat, tetapi minggu lalu beliau datang ke pejabat mengambil taqwim solat serta sempat bersembang di bilik saya, bercerita tentang rancangan mengadakan program kuliah dan ceramah yang wajar diadakan di surau mereka.

Beliau pernah bertugas di bahagian kami sebagai ketua kerani dan pencen di JHEAINS kira-kira 4 tahun lalu.

Semalam pula, saya baru mendapat berita daripada Hj Sotimin Sarun, pegawai di bahagian kami juga berkenaan pemergian ibu yang dikasihinya juga pada pagi selasa di Ranau.

Ibu beliau katanya berumur 96 tahun dan sakit tua.

Cukuplah kematian itu sebagai pengajaran. “Ya Allah, janganlah Engkau ambil nyawa kami secara mengejut”.

“Dan Kami pasti menguji kamu dengan sesuatu berbentuk ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan tanaman; berilah khabar gembira buat orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata : Kami ini milik Allah, dan sesungguhnya kepadaNya semuanya akan kembali”