Malam isnin lalu, saya ke Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas memenuhi undangan ceramah Ma’al Hijrah seperti yang diminta sejak 3 minggu lalu.

Sebenarnya, atas kelalaian sendiri, saya hampir terlupa jemputan itu dan sudah mengesahkan jemputan ceramah yang sama di Surau Taman Limauan. Tetapi beberapa hari sebelum itu, saya dihubungi semula oleh pihak JK Masjid Kg Bangka-Bangka.

Saya mengesahkan kehadiran di Masjid Bangka-Bangka, sementara di Surau Taman Limauan saya pohon Ust Hj Muchlish menggantikan tempat.

Cerita hijratur Rasul SAW saya mulakan secara ringkas bermula dari perutusan baginda sebagai Rasul, dakwah secara senyap, dakwah secara terbuka, penentangan musyrikin dan penderaan terhadap sahabat baginda SAW.

Di dalam peristiwa ini juga, Rasulullah SAW menitik beratkan tentang strategi, peranan semua pihak untuk Islam seperti ketua, ahli korporat, belia, muslimat, rakyat marhaen bahkan orang bukan Islam juga seperti peranan yang dimainkan oleh Abdullah bin Uraiqit.

Sesudah itu, saya mengajak hadirin agar membuat perubahan yang lebih baik, sama ada untuk diri sendiri, keluarga dan negara.

Sesungguhnya hijrah Rasulullah SAW antara lain bertujuan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh, bukan hanya sekadar solat atau haji yang boleh dilaksanakan tanpa baginda berhijrah.